Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Thursday, March 8, 2012

BIADAP!

Tonton video dulu...

Ingat lagi tak kisah ini?
Dulu aku hairan, bagaimana boleh perkara macam ni berlaku? Aku pun tak tahu nak sebelah siapa. Tengok lah caption video ni di youtube, "Guru tidak profesional, pelajar pula kurang ajar." Aku? No, comment.

Tapi hari ni, bila perkara hampir sama berlaku pada aku, baru aku dapat jawapan. Bukan guru tidak profesional tapi memang pelajar yang kurang ajar.

Guru-guru yang betul-betul komited dengan tugas, memang akan bertegas dengan pelajar. Kalau tak profesional, bagaimana mungkin guru boleh dapat pangkat pegawai? Yang tidak bekerja sebagai guru mungkin tak tahu. Dalam kerajaan jawatan kami ialah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan. Hanya yang ada degree ke atas sahaja layak jadi pegawai tau!

Berbalik pada cerita hari ini. Setelah setahun aku berada di SMJKXX ni, memang aku dah masak dengan perangai pelajar-pelajar yang malas. Kalau tak bawa buku, tak buat tugasan, tak payah tegur. Buat letih bercakap. Bahasa Melayu pun tak faham apatah lagi Bahasa Inggeris. Yang penting kita laksanakan tanggungjawab mengajar dan memberi tunjuk ajar. 

Hanya yang betul-betul serius sahaja aku tumpu. Yang tak nak buat, tak nak ikut, boleh blah. Aku no hal. Tiap bulan gaji tetap jugak masuk. Memang dulu aku tak suka ayat pasal gaji ni. Tapi bila dah berada di sekolah ni, pegang status sebagai guru, wajar lah aku setuju dengan guru yang keluarkan pernyataan ini.

Hari ini, hari ketiga ujian formatif 1 berlangsung. Aku masuk ke kelas 3D untuk pengawasan. Oleh kerana waktu KH terdapat ramai guru, aku masuk bersama seorang lagi guru. Sebenarnya cikgu yang bersama ku itu hanya guru ganti (relief) kerana guru yang sepatutnya tidak hadir (berkursus). Biar aku namakan dia sebagai Cikgu Am. Kami masuk jam 1240 manakala ujian akan berlangsung pada jam 0100 tengahari nanti.

Sekitar jam 1255, cikgu Am mengeluarkan arahan supaya pelajar menyimpan buku masing-masing dan meletakkan beg di luar. Oleh kerana kelas agak bising, cikgu Am memukul rotannya di meja kosong untuk menarik perhatian pelajar sebelum mengeluarkan arahan tersebut.

Aku pula meronda (berjalan dari baris ke baris memastikan pelajar mengikut arahan). Tiba di satu meja, pelajar perempuan, Koh, bersilang kaki sambil kusyuk membaca komik. Aku berdiri di sebelahnya pun, dia buat tak tahu jer. Aku ambil komik di tangannya. Dia tidak pula melawan bahkan bagai merelakan komik itu aku ambil.

Aku terus bergerak ke depan. Bila aku pusing mengadap kelas semula, Koh sudah berada di hadapan aku. Rupanya dia membuntuti aku. Dan menurut kata Cikgu Am, bila aku berlalu aje, dia terus bangun menendang meja dan datang mengadap aku. Lagak macam taiko!

Dengan ketinggian yang hampir sama, dia berdiri setentang dengan aku. Mencerlung. Aku lawan cerlungan mata. Dengan mata yang tak berkalih, dia menjerit meminta balik komik tadi. Menyirap darah ku sampai ke kepala. Kurang ajar punya budak. Dia ingat aku siapa? Memang darah aku mendidih.. sangat! Tapi aku cuba bertenang. Aku tanya balik kenapa tak simpan. Awak tak dengar ke cikgu suruh simpan tadi? Dia menjerit lagi mengatakan mana ada cikgu keluarkan arahan. Biadap!

Boleh dia menjerit kepada ku di hadapan kelas bukan sekali tapi dua kali? Dia cuba memanipulasikan aku. Mustahil aku tidak mendengar arahan dari Cikgu Am atau dia sendiri yang sebenarnya pekak. Aku tak mengalah. Dengan mata yang masih merenung dia, aku balas balik dengan suara yang sama tinggi. Kami bertikam lidah. Dalam keadaan marah memang aku tak ingat apa yang aku kata. Tapi syukur, aku masih lagi boleh kawal dari mengeluarkan kata-kata kesat. Dan syukur juga, tangan ku tak laju menampar budak yang kurang ajar ini.

Cuma aku tak lepas dari memandang matanya yang mencerlung aku. Aku tak boleh kerdip, tak boleh berpaling. Kalau itu terjadi, memang dia akan memandang ku sebagai lemah. Alhamdulillah akhirnya mata dia tertunduk dulu, merembes air mata. Waktu tu aku rasa kemenangan di pihak aku. Dia kembali ke tempat duduknya sambil menolak meja kasar, sebagai tanda protes. Menangis macam orang mati laki.


Dan hari ini kali ke-2, aku keluarkan borang laporan salahlaku pelajar untuk tahun ini. Mungkin juga boleh dikira sepanjang setahun setengah mengajar di sekolah ini.

Monday, March 5, 2012

TERHARU

Puisi Suara Seorang Guru yang ie post kan pada 23 Februari 2010 dahulu, hari ini telah di deklamasikan di pentas sekolah! Dideklamasikan sekitar jam 08.20 pagi di Dewan Serbaguna SMKPS bersempenan Program Guru Penyayang peringkat sekolah. Sajak yang diilhamkan daripada pengalaman praktikal di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat dahulu ini pada asalnya dicipta untuk subjek Nilai-nilai Murni dalam Pendidikan. Ketika itu ie masih menuntut di UTM.

Jumaat lepas, rakan sekerja ie diberi peranan mencari atau mencipta sendiri sajak daripada guru untuk pelajar memandangkan beliau ialah seorang guru Bahasa Melayu untuk program tersebut. Kekangan masa, membuatkan beliau merasa tertekan untuk menyelesaikan tugasan itu. Jadi, ie mencadangkan beliau melihat puisi ie ini. Sekiranya difikirkan sesuai, ie izinkan untuk diguna. Cuma mohon beliau perbaiki mana yang kurang.

Hari ini, tanpa sebarang editing, sajak ini telah di deklamasikan oleh seorang guru yang lain. Pengacara majlis turut mengumumkan pencipta asal sajak tersebut. Memang rasa malu namun tidak dinafikan perasaan bangga turut menyelit rasa. Ie tak sangka sejauh ini puisi ie pergi. Semua penciptaan sajak atau puisi ie pada asalnya hanya sebagai cara ie melafazkan rasa hati. Di samping sebagai kenangan, ie selalu membaca kembali puisi-puisi yang telah ie hasilkan. Sungguh ia lebih untuk kepuasan diri ie sendiri sahaja.

Saat bait-bait sajak ini diperdengarkan, ie rasa sangat terharu. Walau hanya di peringkat sekolah, dalam kalangan warga sekolah sahaja, itu sudah cukup membuatkan hati ie berbalut seribu satu rasa. Tak dapat nak digambarkan bagaimana rasa itu. Sangat gembira, sangat teruja, sangat terharu dan macam-macam lagi. Huhu... Lihat lah bagaimana status facebook ie malam ini;

Sekali lagi terima kasih buat Kak Surie (guru Bahasa Melayu tadi) kerana sudi memilih sajak ie yang tak seberapa ini. Juga terima kasih buat Cikgu Wan kerana sudi pula menjadi pendeklamasinya. Ie percaya agar sukar untuk mendeklamasikan sajak ini memandangkan irama nya yang sangat bebas dan tidak terikat dengan satu-satu rentak sahaja. Namun, Cikgu Wan dapat laksanakannya dengan baik sekali. Terima kasih.. terima kasih.. terima kasih...

Justeru, selepas dua tahun berlalu, hari ini dengan penuh rasa bersyukur ie kongsikan full edition  Puisi Suara Seorang Guru buat tatapan semua pembaca dan peminat blog Selembut Bayu. Edisi asal dalam versi cetak adalah sekitar tiga halaman muka surat.

Selamat membaca dan menghayati. Terima kasih kerana sudi~ :D

SUARA SEORANG GURU (full)

Anak-anak didik ku
Berdirinya aku di sini
Bukan untuk bermegah 
Dengan pangkat dan kepandaian
Bukan untuk membandingkan
Siapa yang lebih hebat di antara kita

Tetapi hadirku di sini adalah untuk
Mencurahkan ilmu tanpa jemu
Mengajar mu mengenal dunia
Mendidikmu tanpa mengenal lelah
Mengajakmu ke arah kebenaran dan kebaikan
Mendorongmu mencapai cita-cita
Memikul amanah menjadi ibu bapa kedua
Dengan penuh rela.

Namun ternyata sukar
Untuk ku fahami jiwa dan kehendakmu
Ternyata kita datang dari dunia yang berbeza
Cabaran duniamu lebih hebat
Berbagai pancaroba melanda
Bagaikan wabak berjangkit
Vandalisme, gengsterisme, bohsia, bohjan, 
Bukan sahaja di luar sekolah
Bahkan di dalam kelas
Dirimu tidak segan silu
Menempelak, mengugut, mencederakan 
Kami, guru-guru mu.

Kecewa, sedih, marah, gerun
Aku dengan berbagai rasa
Aku kecewa melihat kalian mengikut nafsu muda
Aku sedih melihat kalian tersungkur tewas
Aku marah kerana kalian membutakan mata hati
Dan aku gerun sekiranya kalian terus tersasar 
Dari pedoman.

Anak-anak didikku
Aku akan terus berjenaka
Andai itu dapat memecahkan tawa mu
Aku akan terus bercerita 
Andai itu kesukaan mu
Aku akan terus bermotivasi
Andai itu membakar semangat mu
Cuma pintaku jangan diulang kesilapan lalu.

Wahai anak-anak didikku
Aku memandang diriku dalam dirimu semua
Kerna aku juga pernah melalui jalan yang sama
Sentiasa dahagakan setitis ilmu
Teraba-raba mencari secebis sinar
Demi masa depan yang lebih bahagia.

Duhai anak-anak didik ku
Bukan kemegahan yang aku cari
Bukan wang ringgit yang aku tuntuti
Bukan pangkat dan darjat aku kejari
Tetapi yang aku impi
Adalah melihat dirimu bukan sahaja
cemerlang akademik, jaguh sukan, petah berpidato.

Bahkan aku mengharapkan
Dirimu cemerlang menjadi seorang manusia selayaknya
Yang berupaya mengikut rentak arus duniawi
Dengan pegangan yang tidak pernah kabur
Juga yang mampu tersenyum bahagia 
Dalam perjalanan menuju ukhrawi yang abadi.

Dengarlah anak-anak didikku
Suara hatiku, guru mu.


Nukilan Rasa: Cikgu Iera/ 210210
~Guru Cemerlang yang Cemerlang~