Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Wednesday, September 16, 2015

Puisi; Cetusan Hati



17 Februari 2015

hujan emas di negeri orang
hujan batu di negeri sendiri
ke tempat orang mencari rezeki
tempat permulaan hidup juga yang dirindui~



12 Mei 2015

Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan,
Berusaha, bersabar dan bertawakal lah kpd Allah,
Kelak pasti ganjaran setimpal akan dikurniaNya,
Kerana Dia Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.



24 Jun 2015

Kenapa Tuhan aturkan pertemuan ini
Andai akhirnya nanti perpisahan jua terjadi
Membayangkan perpisahan itu perit
Menghadapi perpisahan itu lagi perit

Pasrahlah hati mengikut aturan Illahi
Kerana Dia lebih tahu yang terbaik buat diri
Setiap pertemuan memutik rasa sayang dan kasih
Setiap perpisahan memekarkan rasa cinta dan rindu

Astaghfirullah...
Ampuni kami ya Allah.



16 Ogos 2015

Segaris senyuman pada wajah
Bukan bermakna dia bahagia
Redup pandangan mata
Tersimpan sejuta rahsia

Biarlah senyum itu berbicara
Menyembunyi tangis di jiwa
Kerana hanya kepada Tuhan
Telah terlafaz segala kata.



p/s: sumber facebook ie. :P



Mi Calong

Assalamualaikum...



Selamat menyambut Hari Malaysia untuk semua warganegara Malaysia.
Lebih 7 bulan blog ini tidak dikemaskini sebab... ie super busy. huhu...

Dalam tempoh tersebut, ie telah berjaya menamatkan semester akhir pengajian. Setelah berhempas pulas, menitik air mata dan peluh semua... akhirnya ia berakhir. Alhamdulillah. In sha Allah, ie akan update perihal pengajian Sarjana ni sekali dengan cerita konvo yang akan berlangsung pada 02 November nanti. 

Selain dengan pengajian, berlaku juga peningkatan kerjaya ie dan ini bermaksud bertambahnya tanggungjawab yang perlu digalas. Ie telah dilantik menjadi Ketua Panitia (KP) menggantikan KP lama yang telah naik pangkat ke Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP). 2-3 bulan selepas itu, ie dilantik pula menjadi pentaksir kawasan PT3.

Semua pelantikan ini bagaikan naik pangkat tapi tiada apa-apa yang istimewa pada sesetengah orang sebab kenaikan ini tidak melibatkan peningkatan gaji. Walau bagaimanapun untuk guru novis (guru baru berkhidmat antara 1 hingga 5 tahun) seperti ie ia bagaikan suatu penghormatan. Alhamdulillah...

Ok berbalik kepada tajuk entri kali ni, ie nak kenalkan satu resepi masakan Terengganu iaitu Mi Calong. Mak selalu masak mi ini masa kami adik beradik kecik-kecik dulu. Tapi dalam kalangan kami ramai yang tak menggemarinya kerana asasnya adalah ikan. Mungkin masa tu bagi kami anak-anak nelayan ni masakan ayam lebih istimewa. 

Masa berlalu, ie sudah lupa bila kali terakhir mak masak mi calong dan bila kali terakhir ie makan mi calong. Mi ini tidak dijual di mana-mana kedai (ie tak pernah jumpa menu ni). Sehingga lah minggu lepas, kami menghantar adik ie mendaftar di UMP, Gambang dan bermalam di rumah ayah su, bapa saudara ie. Hidangan makan malam kami bihun calong. Wah, menggamit nostalgia. Masuk bilik terus ie minta resepi dari mak. Huhu...

Mi calong warisan bonda

Berikut merupakan resepi mee calong oleh my masterchef, bonda tercinta;
Porsi: 2 orang

Bahan-bahan: 
  1. mi lidi (ie ganti dengan spageti sebab tak jumpa dengan jenama yang mak biasa guna).
  2. 3 ekor ikan kembung saiz sederhana dibersihkan dan dibuang tulang (fillet).
  3. rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan pelaga).
  4. 3 ulas bawang putih
  5. 3 ulas bawang merah
  6. 1 camt serbuk lada hitam
  7. 3 batang sawi
  8. 2-3 cawan air
  9. minyak untuk menumis
  10. garam dan gula secukup rasa
Kaedah:
  1. Rebus spageti bersama sedikit garam dan minyak.
  2. Fillet ikan dimasukkan ke dalam pengisar kering. Tambah setengah camt garam (dan seulas bawang putih jika suka). Kisar sehingga lumat.
  3. Bulat-bulatkan isi ikan tadi sebesar guli dan ketepikan. Ini kita namakan sebagai bebola ikan. hehe
  4. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik.
  5. Masukkan bawang putih dan merah yang telah ditumbuk (cincang halus pun ok) dan juga serbuk lada hitam.
  6. Setelah naik bau, masukkan bebola ikan tadi dan biarkan sehingga masak. Hati-hati golek dalam kuali supaya ia tidak berderai.
  7. Masukkan air. Kacau. Masa ni bebola ikan tidak akan berderai sebab dah masak. huhu
  8. Setelah mendidih, perasakan dengan garam dan secubit gula sebagai pengimbang rasa.
  9. Akhir sekali, masukkan sawi yang telah dipotong dan biarkan seketika.
  10. Rasa dan hidang panas-panas bersama spageti.
Sarapan jam 8 pagi tadi.

Oh ya, ada tambahan. Mi ni sedap dimakan bersama cili jeruk atau cili potong yang direndam dalam kicap seketika. Selamat mencuba. ;)