Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Wednesday, April 21, 2010

DALAM KENANGAN

18 April 2010
Happy Birthday to you... happy birthday to you... Happy birthday to Baya... happy birthday to you... Kali pertama dan terakhir kau tiup lilin dan memotong kek bersempena ulangtahun kelahiran mu yang ke 14. Kegembiraan jelas terbit di wajah mu yang mulus. Hari ini 18 April datang lagi. Tetapi jasad mu telah tiada untuk ku ucapkan Happy Birthday seperti tahun-tahun yang lalu. Telah tiada untuk menyambut hadiah dariku. Owh, kakanda... kau terus hidup dalam kenangan ku.


Masih jelas diingatan ku saat kau khabarkan berita duka. Doktor mengesahkan penyakit mu, lung cancer. Menggigil ku baca sms ringkas dari mu. Kata mu lagi barah itu sudah di tahap 4. Tiada kata yang mampu aku ucapkan. Hanya air mata sebagai pengganti bicara. Lewat petang itu, baru ku balas msg mu. Aku katakan kau kuat untuk hadapi semua ini. Sebab itu kau menjadi pilihan Allah untuk diuji. Berusahalah. Lewat sms kita, aku ucapkan yang aku sayangkan mu. Tulus lahir dari hati ku tika itu.

Seminggu itu kerap ayah menelefon ku. Ayah kebuntuan. Doktor menjangkakan hayat mu hanya tinggal 6 bulan sahaja lagi. Kemoterapi boleh dilakukan tetapi hanya untuk memanjangkan hayat mu kerana pada tahap ini, barah sudah sukar untuk diubati. Ayah tidak dapat membuat keputusan. Dia bertanyakan pendapat ku. Aku sendiri tiada jawapan. Aku tahu nada percakapan ayah bagai menahan sebak di dada. Owh ayah. Aku pun serupa. buntu.

Akhirnya mak bertemu dengan seseorang yang sudi membantu. Adiknya seorang ustaz, mampu mengubati penyakit barah. Bahkan isterinya merupakan bekas pesakitnya sendiri. Perjumpaan dengan Ustaz Bukhari di Tok Bali memberikan harapan baru kepada kami. Berulang kali diubati, dan kali terakhir beliau mengatakan hanya tinggal 30% sahaja lagi barah di paru-paru mu.

Walaupun khabar itu sedikit sebanyak melegakan hatiku tetapi tidak pada emak. Rupanya mak telah dapat merasakan sesuatu. Ketika kau dilahirkan, bidan yang menyambut mu mengatakan umur mu tidak panjang. Ustaz Bukhari juga ada bersuara kecil, sakit ini boleh diubati tapi... Mak juga pernah terjaga dari tidur kerana terdengar suara sekumpulan gagak melintasi bumbung rumah kami. Seekor burung hantu juga pernah datang bertenggek di kandang kambing kami. Dan yang paling mak merasa tidak sedap hati ialah dia pernah bermimpi menyelimut seseorang dengan kain putih. Semua hal ini mak ceritakan setelah semuanya selamat.

dan Sesungguhnya ajal maut adalah ketentuan Allah. Dialah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Dia berkuasa atas setiap sesuatu. dan tepat pada masa yang dijanjikan-Nya, kau akhirnya pergi meninggalkan kami semua pada malam Jumaat, 13 Disember 2007, tidak sampai 3 bulan selepas kau didiagnosis.


Pagi itu, ku sedekahkan surah Yassin buat mu. Tetamu yang bertali arus berkunjung tidak ku hiraukan sehinggalah ku terpandangkan wajah teman baik mu. Waktu itu, aku bagaikan baru tersedar dari mimpi. Sepanjang malam aku tidak dapat tidur kerana hati ku menolak untuk menerima kejutan sebesar ini. Namun, demi terpandangkan wajah sahabatmu itu, aku tahu aku berpijak di bumi nyata. Kau telah pergi meninggalkan kami semua. Derai air mata tidak dapat dibendung lagi.

Ubun-ubun mu, ku cium dan ku tinggalkan kau dengan linangan air mata yang bagaikan sungai mengalir. Makin di tahan semakin parah. Satu hari, aku tidak hiraukan makan dan minum. Makan tetapi semuanya tawar. Minum tapi semuanya tidak terasa. Setiap kali selepas solat ku sedekahkan surah yassin buat mu. Ku doakan agar kau baik-baik sahaja di sana.

Aku tidak tahan berada lama di rumah. Bayangan mu seakan wujud di setiap sudut rumah. sehinggakan aku tidak sanggup menjenguk ke bilik mu. Namun aku berlakon kuat di depan mak, ayah dan adik-adik. Kau tinggalkan aku dengan tugas berat yang tidak pernah aku terfikirkan. Kini aku lah pembawa status anak sulung. Aku lah tunggak kekuatan mak dan ayah dan aku jugalah tempat bergantung adik-adik. Mujur dua minggu selepas kau pergi, aku perlu memulakan semester baru. Dapatlah aku membawa hatiku keluar dari rumah yang banyak mencipta memori kita bersama. Aku ingin merawat kedukaan hati ini.

Lebih dua bulan masa yang aku ambil. Setiap hari aku tidur bersama linangan air mata kerana bayangan mu tidak pernah hapus dari kotak ingatan ku. Ku sedekahkan yassin buat mu setiap kali selepas solat magrib. Aku membina kekuatan diri dengan mengaji dan solat sunnat. Aku bergelak ketawa dengan kawan-kawan. Aku berlagak seperti biasa di hadapan semua orang. Lama kelamaan baru lah aku dapat menerima pemergiaan mu walaupun untuk melupakan mu, adalah mustahil sama sekali.

Aku tahu bukan aku seorang yang merasai kehilanganmu. Mak dan ayah apatah lagi. Adik-adik juga semestinya. Teman-teman akrab mu juga. Kau sememangnya permata yang menyinari kehidupan kami. Pemergianmu telah menyuramkan hidup ini. Sememangnya engkau lah insan istimewa, pinjaman Tuhan kepada kami buat sementara cuma.


Ya Allah, aku tidak pernah jemu berdoa dari hari pertama dia pergi hingga ke saat ini. Hanya satu pintaku, bahagiakanlah dia di sana. Cukuplah deritanya di dunia ini sebagai penghapus dosa. Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan ku, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kak... selamat hari jadi~ I'm really really miss you... so much!
oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang MEMILIKI dan MENGUASAI tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan. Yaasin : 83


Sinaran mata cerita segalanya
duka lara terpendam memori semalam
tinggal segala cinta tiada kembalinya
abadi kasih kita kau bawa bersama
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Tersemat jiwa setia bersamanya
cinta murni berdua beribu tahunnya
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Ohh pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Maafkan daku duhai kasih
izinkan ku pergi

Izinkan Ku Pergi

Saturday, April 10, 2010

Kadangkala kita merasakan bahawa kita lah orang yang paling teruk diuji~ tetapi kadang kala kita terlupa sebab di seblik ujian itu dan kita juga lupa, masih ramai lagi yang menerima ujian serupa bahkan lagi hebat dari kita. Bersyukur lah dengan segala yang telah diaturkan oleh Dia yang Maha Mengetahui atas segala yang terjadi~
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286-

Friday, April 9, 2010

Teristimewa Buat Teman-Teman Seperjuangan

Teman,
Aku sedar diri ini serba kekurangan
Sering salah dalam berbicara
Sering menyakiti dalam menyapa
Sering terkasar tingkah dan tutur kata
Namun janganlah kiranya
Kekurangan ini membawa sengketa
Antara kita.

Teman,
Ku mohon jutaan kemaafan
Sudilah kiranya diampunkan setiap kekhilafan
Kerana aku juga hanya lah seorang insan
Yang tidak lepas dari kesilapan.

Teman,
Di akhir pertemuan ini
Jambangan terima kasih ku hadiahkan
Buat kalian semua
Ketahuilah teman
Sesungguhnya kalian telah mewarnai
Kanvas perjuangan ku
Di menara gading ini
Dengan lukisan yang terindah
Untuk ku tatap sepanjang zaman.

Teman,
Mudah-mudahan kita dipertemukan lagi
Walau dalam suasana yang berbeza
Namun kemesraan itu tetap terasa.

Dan kepada Tuhan,
Ku bermohon agar
Ikatan persahabatan ini terus berkekalan
Selagi hayat dikandung badan.

Thursday, April 8, 2010

SALAM PERPISAHAN

Salam pertemuan dihulur
Dengan seribu satu persepsi
Ada yang cantik, ada yang kacak
Ada yang pintar, ada yang berlagak
Ada yang petah, ada yang pendiam
Ada yang merendah diri, ada yang baik hati
Pelbagai versi.

Selama empat tahun meniti hari
Suka dan duka bersama direnangi
Kini hampir semua sudah dikenali
Pertemuan yang terbina dahulu
Telah menjadi suatu ikatan yang teguh
Bagaikan sukar untuk dirungkaikan lagi.

Namun perpisahan ini harus terjadi
Kerana itu hukum alam, ketetapan Tuhan
Tetapi berpisah bukanlah bererti

Tamatnya sudah kisah antara kita
Dan bukan sebagai tanda terlerainya
Ikatan yang telah dibina.

Bahkan sebenarnya
pengerat kasih di kejauhan
Terus utuh dalam ukhwah yang berpanjangan.

Monday, April 5, 2010

PERISA VANILLA

Sudah lama ingin ku tulis berkenaan hal ini. Namun baru hari ini aku diberi kekuatan untuk berbuat demikian. Terima kasih kepada seorang teman, yang menyedarkan tentang keterlanjuran ku hingga mungkin telah mengguris perasaan teman-teman yang lain. Bukan niat ku untuk menghindar diri dari kalian, apatah lagi aku dengan sukarelanya ingin turut serta keluar bersiar-siar bersama.

Teman, sedari lah. Aku adalah anak seorang perokok. Sejak kecil aku dibesarkan dengan asap rokok bapa ku. Aku ingat lagi, ketika kecil aku sangat suka menghirup kepulan asap rokok Camel yang dilepaskan dari kerongkong ayah. Baunya harum semerbak. Ketika itu bagi ku adalah adab jika seorang lelaki merokok. Sangat janggal jika mengenali seorang lelaki yang tidak merokok.

Suatu hari, salah seorang insan yang amat aku sayang, yang telah menemani kehidupan ku lebih 20 tahun di dunia ini di jemput Tuhan kembali kepada-Nya. Apa dayaku untuk menghalang pemergiaan dia. Aku redha dia pergi kerana ketika sakitnya aku sendiri pernah mendoakan, andai hidup ini lebih baik buatnya sembuhkanlah dia dan kembali kan kesihatan dia seperti dulu, Ya Allah. Tetapi andai mati itu lebih baik buatnya, aku redha Engkau mengambil dia dari kami.

Lungs cancer atau barah paru-paru, punca kematian. Artikel demi artikel yang ku baca dari internet dan media cetak, mengaitkan penyakit ini dengan rokok. Hairan sekali, bagaimana mungkin ini terjadi. Sedangkan dia bukan perokok. Memang sudah suratan ketentuaan Allah menjadikan semua yang mustahil boleh berlaku. Namun kekesalan itu tidak dapat ku bendung dari membalut hati ini. Tapi siapa aku untuk membenci ayah sendiri, insan yang banyak berkorban demi anak-anaknya. Bahkan ku lihat ayah sangat bersedih dengan pemergian arwah. Jika ini aku kesalkan, ayah apatah lagi. Dia lah satu-satunya perokok dalam rumah kami.

Sejak itu lah aku jadi pembenci. Pembenci kepada rokok. Hingga kan sampai satu tahap aku pernah bertekak hanya kerana rokok. Mujur teman menegur ku. Dan baru-baru ini sekali lagi tindakan ku rupanya mengundang persepsi negatif teman-teman. Aku cuba menerima rakan-rakan yang merokok. Aku cuba elakkan dari bertengkar lagi kerana semua orang sudah sedia maklum bahaya rokok dan pasti salah satu hujah perokok, dah merokok memang susah nak berhenti.

Kali ini, kami minum-minum di sebuah restoran dan seorang kawan menempah shisha perisa vanilla. Kata salah seorang teman baunya memang seperti vanilla tapi agak masam sedikit namun pada deria ku baunya tidak ubah seperti muntah. Aku cuba bertahan. Aku minum air laici ku sambil sedaya upaya cuba kurangkan menghirup udara dalam-dalam. Namun aku tidak dapat bertahan lama dan mengalihkan tempat duduk ku jauh sedikit dari tempat mereka-mereka yang sedang menghisap shisha.

Ketika itu aku langsung tidak memikirkan perasaan mereka. Apa yang penting aku tidak mahu menuturkan apa-apa yang boleh mengundang pertengkaran dan aku juga tidak mahu terus-terusan menghirup asap shisha itu. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudah berjauh hati dengan ku. Justeru kesempatan ini, andai ada teman-teman yang membaca coretan ini, jutaan maaf ku pohon.

Mungkin aku telah mengguris hati kalian namun ku mohon pengertian dari teman-teman. Aku sudah mencuba menerima perokok-perokok di sekeliling ku namun apa daya ku. Kebencian sudah tertanam jauh di sudut hatiku sehingga pernah ku katakan andai aku orang yang paling berkuasa, produk pertama yang akan aku hapuskan di pasaran dunia adalah rokok durjana.