Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Monday, April 5, 2010

PERISA VANILLA

Sudah lama ingin ku tulis berkenaan hal ini. Namun baru hari ini aku diberi kekuatan untuk berbuat demikian. Terima kasih kepada seorang teman, yang menyedarkan tentang keterlanjuran ku hingga mungkin telah mengguris perasaan teman-teman yang lain. Bukan niat ku untuk menghindar diri dari kalian, apatah lagi aku dengan sukarelanya ingin turut serta keluar bersiar-siar bersama.

Teman, sedari lah. Aku adalah anak seorang perokok. Sejak kecil aku dibesarkan dengan asap rokok bapa ku. Aku ingat lagi, ketika kecil aku sangat suka menghirup kepulan asap rokok Camel yang dilepaskan dari kerongkong ayah. Baunya harum semerbak. Ketika itu bagi ku adalah adab jika seorang lelaki merokok. Sangat janggal jika mengenali seorang lelaki yang tidak merokok.

Suatu hari, salah seorang insan yang amat aku sayang, yang telah menemani kehidupan ku lebih 20 tahun di dunia ini di jemput Tuhan kembali kepada-Nya. Apa dayaku untuk menghalang pemergiaan dia. Aku redha dia pergi kerana ketika sakitnya aku sendiri pernah mendoakan, andai hidup ini lebih baik buatnya sembuhkanlah dia dan kembali kan kesihatan dia seperti dulu, Ya Allah. Tetapi andai mati itu lebih baik buatnya, aku redha Engkau mengambil dia dari kami.

Lungs cancer atau barah paru-paru, punca kematian. Artikel demi artikel yang ku baca dari internet dan media cetak, mengaitkan penyakit ini dengan rokok. Hairan sekali, bagaimana mungkin ini terjadi. Sedangkan dia bukan perokok. Memang sudah suratan ketentuaan Allah menjadikan semua yang mustahil boleh berlaku. Namun kekesalan itu tidak dapat ku bendung dari membalut hati ini. Tapi siapa aku untuk membenci ayah sendiri, insan yang banyak berkorban demi anak-anaknya. Bahkan ku lihat ayah sangat bersedih dengan pemergian arwah. Jika ini aku kesalkan, ayah apatah lagi. Dia lah satu-satunya perokok dalam rumah kami.

Sejak itu lah aku jadi pembenci. Pembenci kepada rokok. Hingga kan sampai satu tahap aku pernah bertekak hanya kerana rokok. Mujur teman menegur ku. Dan baru-baru ini sekali lagi tindakan ku rupanya mengundang persepsi negatif teman-teman. Aku cuba menerima rakan-rakan yang merokok. Aku cuba elakkan dari bertengkar lagi kerana semua orang sudah sedia maklum bahaya rokok dan pasti salah satu hujah perokok, dah merokok memang susah nak berhenti.

Kali ini, kami minum-minum di sebuah restoran dan seorang kawan menempah shisha perisa vanilla. Kata salah seorang teman baunya memang seperti vanilla tapi agak masam sedikit namun pada deria ku baunya tidak ubah seperti muntah. Aku cuba bertahan. Aku minum air laici ku sambil sedaya upaya cuba kurangkan menghirup udara dalam-dalam. Namun aku tidak dapat bertahan lama dan mengalihkan tempat duduk ku jauh sedikit dari tempat mereka-mereka yang sedang menghisap shisha.

Ketika itu aku langsung tidak memikirkan perasaan mereka. Apa yang penting aku tidak mahu menuturkan apa-apa yang boleh mengundang pertengkaran dan aku juga tidak mahu terus-terusan menghirup asap shisha itu. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudah berjauh hati dengan ku. Justeru kesempatan ini, andai ada teman-teman yang membaca coretan ini, jutaan maaf ku pohon.

Mungkin aku telah mengguris hati kalian namun ku mohon pengertian dari teman-teman. Aku sudah mencuba menerima perokok-perokok di sekeliling ku namun apa daya ku. Kebencian sudah tertanam jauh di sudut hatiku sehingga pernah ku katakan andai aku orang yang paling berkuasa, produk pertama yang akan aku hapuskan di pasaran dunia adalah rokok durjana.

No comments:

Post a Comment