Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Wednesday, September 16, 2015

Puisi; Cetusan Hati



17 Februari 2015

hujan emas di negeri orang
hujan batu di negeri sendiri
ke tempat orang mencari rezeki
tempat permulaan hidup juga yang dirindui~



12 Mei 2015

Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan,
Berusaha, bersabar dan bertawakal lah kpd Allah,
Kelak pasti ganjaran setimpal akan dikurniaNya,
Kerana Dia Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.



24 Jun 2015

Kenapa Tuhan aturkan pertemuan ini
Andai akhirnya nanti perpisahan jua terjadi
Membayangkan perpisahan itu perit
Menghadapi perpisahan itu lagi perit

Pasrahlah hati mengikut aturan Illahi
Kerana Dia lebih tahu yang terbaik buat diri
Setiap pertemuan memutik rasa sayang dan kasih
Setiap perpisahan memekarkan rasa cinta dan rindu

Astaghfirullah...
Ampuni kami ya Allah.



16 Ogos 2015

Segaris senyuman pada wajah
Bukan bermakna dia bahagia
Redup pandangan mata
Tersimpan sejuta rahsia

Biarlah senyum itu berbicara
Menyembunyi tangis di jiwa
Kerana hanya kepada Tuhan
Telah terlafaz segala kata.



p/s: sumber facebook ie. :P



Mi Calong

Assalamualaikum...



Selamat menyambut Hari Malaysia untuk semua warganegara Malaysia.
Lebih 7 bulan blog ini tidak dikemaskini sebab... ie super busy. huhu...

Dalam tempoh tersebut, ie telah berjaya menamatkan semester akhir pengajian. Setelah berhempas pulas, menitik air mata dan peluh semua... akhirnya ia berakhir. Alhamdulillah. In sha Allah, ie akan update perihal pengajian Sarjana ni sekali dengan cerita konvo yang akan berlangsung pada 02 November nanti. 

Selain dengan pengajian, berlaku juga peningkatan kerjaya ie dan ini bermaksud bertambahnya tanggungjawab yang perlu digalas. Ie telah dilantik menjadi Ketua Panitia (KP) menggantikan KP lama yang telah naik pangkat ke Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP). 2-3 bulan selepas itu, ie dilantik pula menjadi pentaksir kawasan PT3.

Semua pelantikan ini bagaikan naik pangkat tapi tiada apa-apa yang istimewa pada sesetengah orang sebab kenaikan ini tidak melibatkan peningkatan gaji. Walau bagaimanapun untuk guru novis (guru baru berkhidmat antara 1 hingga 5 tahun) seperti ie ia bagaikan suatu penghormatan. Alhamdulillah...

Ok berbalik kepada tajuk entri kali ni, ie nak kenalkan satu resepi masakan Terengganu iaitu Mi Calong. Mak selalu masak mi ini masa kami adik beradik kecik-kecik dulu. Tapi dalam kalangan kami ramai yang tak menggemarinya kerana asasnya adalah ikan. Mungkin masa tu bagi kami anak-anak nelayan ni masakan ayam lebih istimewa. 

Masa berlalu, ie sudah lupa bila kali terakhir mak masak mi calong dan bila kali terakhir ie makan mi calong. Mi ini tidak dijual di mana-mana kedai (ie tak pernah jumpa menu ni). Sehingga lah minggu lepas, kami menghantar adik ie mendaftar di UMP, Gambang dan bermalam di rumah ayah su, bapa saudara ie. Hidangan makan malam kami bihun calong. Wah, menggamit nostalgia. Masuk bilik terus ie minta resepi dari mak. Huhu...

Mi calong warisan bonda

Berikut merupakan resepi mee calong oleh my masterchef, bonda tercinta;
Porsi: 2 orang

Bahan-bahan: 
  1. mi lidi (ie ganti dengan spageti sebab tak jumpa dengan jenama yang mak biasa guna).
  2. 3 ekor ikan kembung saiz sederhana dibersihkan dan dibuang tulang (fillet).
  3. rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan pelaga).
  4. 3 ulas bawang putih
  5. 3 ulas bawang merah
  6. 1 camt serbuk lada hitam
  7. 3 batang sawi
  8. 2-3 cawan air
  9. minyak untuk menumis
  10. garam dan gula secukup rasa
Kaedah:
  1. Rebus spageti bersama sedikit garam dan minyak.
  2. Fillet ikan dimasukkan ke dalam pengisar kering. Tambah setengah camt garam (dan seulas bawang putih jika suka). Kisar sehingga lumat.
  3. Bulat-bulatkan isi ikan tadi sebesar guli dan ketepikan. Ini kita namakan sebagai bebola ikan. hehe
  4. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik.
  5. Masukkan bawang putih dan merah yang telah ditumbuk (cincang halus pun ok) dan juga serbuk lada hitam.
  6. Setelah naik bau, masukkan bebola ikan tadi dan biarkan sehingga masak. Hati-hati golek dalam kuali supaya ia tidak berderai.
  7. Masukkan air. Kacau. Masa ni bebola ikan tidak akan berderai sebab dah masak. huhu
  8. Setelah mendidih, perasakan dengan garam dan secubit gula sebagai pengimbang rasa.
  9. Akhir sekali, masukkan sawi yang telah dipotong dan biarkan seketika.
  10. Rasa dan hidang panas-panas bersama spageti.
Sarapan jam 8 pagi tadi.

Oh ya, ada tambahan. Mi ni sedap dimakan bersama cili jeruk atau cili potong yang direndam dalam kicap seketika. Selamat mencuba. ;)



Sunday, February 15, 2015

Red Velvet Cheese Tart

Assalamualaikum. Semalam 14 Februari, ie bersama dua orang rakan telah mengikuti suatu kursus pendek di Kolej Komuniti Rembau. Kami tertarik untuk mengikuti kursus ini memandangkan hidangan yang dicadangkan masih baru dan tidak ramai yang mengetahuinya. Selain daripada menambah pengetahuan dan kemahiran, ie juga suka belajar memasak terutamanya kek dan pastri. Hehe..

hasil yang pelajari


Porsi: 20 - 30 biji tart sederhana

Bahan-bahan:

  • Pastri
  1. 170 gm margerin
  2. 3 camb gula asing
  3. 1 camb cuka makan
  4. 1 camt esen vanila
  5. 1 camt pewarna merah
  6. 1 biji telur
  7. 1 camb serbuk coklat
  8. 260 gm tepung gandum
  • Inti
  1. 250 gm cream cheese
  2. 3 camb gula aising
  3. 1/4 perahan lemon (jika suka)
  4. 1 biji telur
  5. jem strawberry


Kaedah:

  • Pastri
  1. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan dengan cuka, pewarna merah dan esen vanila. 
  2. Gaul marjerin dan gula aising dengan menggunakan hujung jari hingga mesra.
  3. Masukkan campuran telur tadi dan gaul lagi hingga sebati.
  4. Masukkan serbuk coklat dan tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli hingga sebati.
  5. Rehatkan doh selama 20 minit di dalam chiller. Sementara itu, laserkan sedikit margerin pada acuan tart. Panaskan ketuhar.
  6. Bulatkan sedikit doh dan masukkan ke dalam acuan tart. Tekan dari tengah hingga ke tepi untuk menipiskan doh. jangan terlalu nipis atau terlalu tebal. Cucuk-cucukkan bahagian tengah tart dengan menggunakan garfu supaya doh tidak menggelembung ketika di bakar nanti.
  7. Susun acuan tart di dalam dulang dan masukkan ke dalam ketuhar. Bakar selama 20 minit pada suhu 160c dengan menggunakan api atas dan bawah sehingga hampir masak.

proses pembuatan sendiri di rumah (saiz kecil)

  • Inti
  1. Putarkan cheese bersama gula aising di dalam mixer seketika. Masukkan telur dan putar lagi sehingga mesra.
  2. Pindahkan adunan tadi ke dalam pengisar/blender dan kisar sehingga sebati. 
  3. Keluarkan pastri yang telah dibakar tadi (pastri mudah ditanggalkan dari acuan dan bahagian bawahnya telah kering menunjukkan pastri sudah masak) daripada acuannya.
  4. Paipkan sedikit jem ke bahagian dasar pastri. Kemudian paipkan cheese ke atasnya.
  5. Hiaskan dengan serbuk pastri yang telah dihancurkan atau menggunakan pewarna merah.
  6. Susun semula ke dalam dulang tanpa menggunakan acuan tart dan bakar selama 10 minit.
  7. Tart yang telah siap, intinya kering dan tidak melekat pada jari.
tadaaa... rupa kurang tapi rasa sedap. hakhak

p/s: Maaf, gambar tart kecik tu ie buat waktu malam di rumah kampung. Pencahayaan kurang jadi pastri tart kelihatan gelap ya. huhu...



Sunday, February 8, 2015

Asam Pedas Ayam

Resepi kita kali ini ialah... Asam Pedas untuk Ziyad! haha.. Bukan lah.. resepi kali ini asam pedas ayam ala Johor. sekarang tengah hot drama 'Asam Pedas untuk Dia' dalam slot Dahlia tv3. Seronok pulak ie tonton cerita ni, sampai view laman web tonton lah bila terlepas. Ceritanya lebih kurang drama Setitis Kasih Darmia dalam slot Ratu tv9. Promo sikit. huhu..

Acap kali juga ie masak asam pedas ayam sejak tinggal di Melaka. Nak buat asam pedas ikan membazir pula sebab ie lebih suka ikan goreng daripada ikan yang berkuah. Berbalik pada Asam Pedas Ayam ni, pada asalnya ie belajar menggunakan resepi dari blog tiffinbiru. ie masak bergantung kepada bahan yang ada kat dapur mengikut citarasa ie sendiri. Sebelum ni ie pernah pos resepi asam pedas ayam juga tapi ada kelainan sedikit dari segi bahannya. Boleh try mana yang anda suka. hehe..

Jom try!

Bahan-bahan:

  1. 1/4 ekor ayam dipotong kecil dan dibersihkan
  2. 1/2 genggam daun kesom dicuci dan ditoskan
  3. 5 camb cili kisar (ikut selera pedas masing-masing)
  4. 1/2 camt asam jawa tanpa biji
  5. 1/4 camt gula
  6. 1 1/2 camt garam
  7. 2 biji tomato dipotong 4
  8. sedikit minyak untuk menumis
  9. secawan air (atau secukupnya)
  10. bahan-bahan kisar halus:
    • 3 biji bawang besar (sederhana)
    • 2 ulas bawang putih
    • 1/2 inci halia
    • 1/4 inci lengkuas
    • 1/4 inci kunyit hidup
    • 1/4 inci belacan
    • 1/2 biji buah keras
    • 1/4 camt lada hitam
    • 1camt ketumbar biji
    • 1/4 camt jintan kasar
    • 1/4 camt jintan halus
masukkan tomato setelah api dipadam supaya ia tidak hancur

Kaedah:
  1. Bersihkan dan kisar halus semua bahan nombor 10.
  2. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  3. Masukkan ayam dan daun kesom. Gaul rata dan masak sehingga ayam kecut.
  4. Tuangkan air (mengikut kepekatan yang dikehendaki). Kacau dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Masukkan jus asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula. Biarkan menggelegak dan rasa.
  6. Padamkan api dan masukkan potongan tomato. Biarkan seketika supaya tomato lembut. Sedia dihidang.
Hah, jangan dilihat pada banyaknya bahan diperlukan. Sebenarnya semua bahan tersebut bahan lazim yang biasa ada di dapur. Walaupun bahan yang diperlukan banyak namun cara memasak asam pedas ini cukup mudah sebab semua bahan perlu dikisar sekaligus dan terus ditumis sebelum dicampur dengan bahan utama dan perisa. Rugi tak cuba!

Selamat mencuba~

Wednesday, December 17, 2014

Mentari di Wajahmu

Semalam ku lihat wajah mu ceria
Ibarat mentari di waktu pagi
Semalam ku dengar suaramu bermelodi indah
Bak desiran bayu di pantai
Semalam ku lihat tingkah mu lincah
Seperti bintang tak henti kerdipnya

Tapi mengapa hari ini
Wajah mu sugul berduka
Umpama mentari di musim tengkujuh
Ke mana menghilang pergi
Melodi indah suaramu
Tingkah berubah lemah dan longlai

Adakah kerana ujian yang menimpa
Kau hampa dan kecewa
Tuhan tidak akan menduga
Andai hambaNya tidak berupaya
Yakinlah pada Nya
Kau mampu hadapi segala
Ujian Nya sebagai penghapus dosa
Membawa diri dekat padaNya
Tuhan pemilik seluruh dunia

Sunday, July 20, 2014

JALAN PERJUANGAN



jalan ini yang aku pilih

jalan ini yang ditakdirkan

jalan ini yang kelihatan sukar

jalan ini yang memerlukan perjuangan

jalan ini yang mengajar erti pengorbanan

jalan ini akan tiba ke suatu destinasi

di mana perit jerih akan terbalas

dengan senyuman indah sang pelangi

hadiah buat seorang pejuang setia.

16 MEI 2014

Guru,
Jasamu semerbak kasturi
Harum mewangi di sanubari
Moga setiap langkah mu dirahmati
Doaku agar bahagia milik mu abadi.

Selamat Hari Guru 16 Mei 2014 teristimewa buat semua guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini.
Tidak lupa juga buat guru pertama ku, mak & ayah serta seluruh sahabat handai yang bergelar pendidik mahupun yang berjiwa pendidik.

Terima kasih, cikgu!!!

Tuesday, May 6, 2014

Semarak Kasih Guru

Guru,
Tak pernah jemu, bersemangat jitu
Tidak kecundang di medan ilmu
Dalam memanusiakan manusia dungu

Guru,
Bersemarak jiwanya penuh kasih
Sayang yang tidak memilih
Sabar mendidik dengan gigih
Walau jasad terasa letih

Guru,
Andai diri mu tidak dipeduli, sabarlah
Andai kesabaran mu terus diuji, bertahanlah
kerana jika bukan di dunia ini
Akhirat pasti menanti
Ganjaran yang dijanji Illahi.

Friday, April 18, 2014



Di saat kehilangan orang yang tersayang,
setiap kebaikannya terlintas di fikiran
termimpi-mimpi kenangan bersama 
bergetar bibir untuk mengatakan dia telah tiada 


pergilah sayang...
kami redha 
moga dirimu lebih bahagia di sana 
menanti kami untuk bertaut rindu 
di syurga yang Maha Agung 

In sha Allah~ 


al-Fatihah buat allahyarhamah kakanda ku
18.04.1986 - 13.12.2007


Thursday, March 20, 2014

Cakap Mak

mak selalu cakap...
dalam setandan pisang, buahnya lain-lain
seperti adik-beradik, masing-masing ada lebih dan kurang.
mak selalu pesan...
adik-beradik jangan bergaduh
esok-esok mereka lah tempat kita tumpang susah senang.

dulu bila makan minum, selalu kena kongsi...
mak kata jimat tapi sebenarnya itu petua mak eratkan kami.
dulu bila gaduh semua kena leter, kena rotan...
mak tak pernah menangkan salah sorang dari kami.

sekarang walaupun saling berjauhan
hati kami tetap satu
dalam ego kami tetap merindu
dalam doa kami boleh bersatu...

terima kasih mak & ayah
kerana bijak membesarkan kami 
dalam ikatan penuh kasih & sayang ini.
semua~

Thursday, March 13, 2014

Hidup terlalu singkat untuk kita membenci..
Andai ada sengketa, leraikanlah..
Andai ada dendam, maafkanlah..
Moga hidup ini akan lebih bererti...

Wednesday, February 26, 2014

Empat tahun tidak bersua
Rindu bermukim di dada
Moga kalian baik baik saja
Walau di mana pun berada.

UTM di hati~

Monday, February 3, 2014

Dalam hidup ini banyak perkara berlaku tanpa kita jangka
Kadangkala perjalanannya berliku tanpa kita sangka
Mungkin kerana itu lah ia bagai suatu sandiwara cerita
Tidak terduga apa, bila, kenapa dan bagaimana akan tercipta~

Thursday, January 16, 2014

Incredible Journey




Lagu iklan yang selalu buat diriku terimbas zaman kanak-kanak, zaman di mana aku punya seorang kakak dan dua orang adik perempuan.


Lagu yang kadang kala buat aku meremang bila dengar. Betapa sudah jauh masa aku tinggalkan.. betapa sudah terlalu lama kenangan itu berlalu pergi~


We've only just met.. but I feel sure.. We will be best friends...
Sharing the joy of every step.. We take together...
This journey what we're on.. Where both of us go strong...
This journey that.. We'll make it together...


al-Fatihah for my late sister~
(1986 - 2007)

Sunday, January 12, 2014

Tragedi Disember


Assalam...

Blog yang tak terupdate. Nasib baik selalu update status di facebook. Ini antara pengalaman getir di musim tengkujuh tahun 2013. ie copy dari facebook and paste di sini untuk entri malam ini. Terima kasih kerana sudi baca~


01 Disember 2013 - Tampin
melihat wajah-wajah kesayangan berada depan mata. Terima kasih, sudi bersusah payah naik bas datang ke Tampin.  semua~

saat keluarga datang bercuti. Kami ke Melaka dan Kuala Lumpur.


04 Disember 2013 - Cherating
jam 02.00 pagi bertolak dari Tampin namun tersangkut di Muadzzam Syah akibat tanah runtuh & jalan putus sekitar jam 4.20 pagi. 

bermalam di Petronas lebih kurang sejam dua sebelum berpatah balik sekitar jam 07.00 pagi melalui Bera masuk ke Temerloh dan seterusnya memasuki lebuhraya Pantai Timur sekitar 09.30 pagi. 

Keluar tol gambang tapi tersangkut pula berhampiran Permatang Badak, air melimpah dan jam. Sekali lagi berpatah balik masuk semula ke lebuhraya dan berjaya keluar dari tol Jabor.
Sekitar jam 12.00 tghari, lebih kurang 10km memasuki Jabor, stuck pula dgn air pintas melebihi paras lutut. lagi, berpatah balik memasuki Kemaman melalui jalan pantai. 

1 lorong shj dibuka dari arah bertentangan dan kami dinasihatkan utk tidak meneruskan perjalanan krn air naik, jalan sesak dan keadaan berbahaya. namun kami tetap teruskan pjlanan walaupun akhirnya kami tersadai di Sungai Ular. setelah lebih 12 jam perjalanan, kami redha dgn perancanganNya.

Amirul juga seperti sdah merelakan Alllahyarham P.Nik (bapa saudara yg paling rapat dgnnya) dikebumikan tanpa menunggu dia. Agak tkilan krn tidak berjaya menemukan Amirul dgn arwah sedangkan menurut ayah, nama Mirul meniti di bibir arwah petang sebelum ajal mjemputnya pulang. dan berderai air mata Mirul menerima pkhabaran pemergian arwah.
Kami semua redha, tiada rezeki buat kami.

saat kami menerima perkhabaran duka. Memaksa kami memulakan perjalanan di awal pagi. Namun perjalanan itu tidak semudah yang disangka. Terpaksa bermalam di Petronas pada malam pertama dan bernasib baik menemui sebuah resort yang masih kosong pada hari kedua. Jumlah perjalanan kami mengambil masa hampir 36 jam untuk sampai ke destinasi.


06 Disember 2013- Kuala Terengganu
"mu tinggal pak nik 2 hari je Yo, tapi pak nik tinggal mu sapa bile2" - kata2 yg mngundang lagi titisan air mata Amirul.

sungguh terasa khilangan tp aku pasti mirul lebih merasainya. mirul sangat rapat dgn arwah, shga kami gelarkan dia sbgai ayahanda mirul. tabah lah, mirul. yg pergi ttp pergi...

al-Fatihah buat arwah Pak Nik, Awang bin Salleh (bapa saudara) yg telah pergi mhadap Illahi beberapa minit sebelum jam 01:00a.m., 04.12.2013. mudah2an dicucuri rahmat & ditempatkan dlm kalangan yg beriman.


saat malam pertama kami menghadiri majlis tahlil arwah. Ramai kenalan arwah mengenali Amirul. Tidak hairan lah mereka seolah2 mengucapkan takziah kepada Amirul walaupun Amirul hanya sekadar seorang anak saudara. Dan ternyata kesedihan Amirul bagai arwah seperti bapanya sendiri pula.


Selamat Tinggal 2013. Setiap yang Allah aturkan ada nikmat dan hikmahnya. Moga menjadi panduan menghadapi hidup pada masa akan datang.

Tuesday, January 7, 2014

Ragu

Harus kah aku
Bersuara bagai dewasa
yang sangat mengerti hidup ini
Perlu kah aku
Memulakan semula sebuah kisah
agar tiada duka, tiada derita
Mampukah aku
Mengukirkan senyum di matanya
yang sekian lama tidak bercahaya
Ragu...


Tuhan,
Kuatkan aku... bantulah aku...
Mendepani hidup yang penuh berliku~

Sunday, December 29, 2013

Perantau

Rumah terindah aku tinggalkan
dengan harapan masih ada peluang
untuk ku pulang menjengah halaman

Rumah kenangan jauh dari pandangan
demi tugas yang dipertanggungjawabkan
merelakan diri hidup di perantauan

Salam 2014 Masihi~

Friday, December 13, 2013

di saat pertolongan yg dimohon,
ditunaikan tanpa soal tanpa bicara, 
tiada yg lain dlm hati ini 
selain ucapan syukur dan doa 
agar kebaikan yg diberi dibalas kebaikan jua.

Sunday, November 10, 2013

Tenggiri Masak Lemak Cili Padi

Bahan-bahan
  1. 5 ketul ikan tenggiri
  2. santan daripada 1 biji kelapa
  3. sekeping asam gelugor
  4. 1 inci kunyit hidup
  5. segenggam cili padi (ikut suka)
  6. secekak daun kesom
  7. 1 camt++ garam
  8. 1camt gula

Kaedah
  1. kisar kunyit hidup dan cili padi dengan sedikit air. 
  2. masukkan santan ke dalam periuk (tambah dengan 1 cawan air sbb ie guna santan pekat).
  3. campurkan dengan bahan kisar dan asam gelugor. masak dengan api perlahan hingga mendidih
  4. sementara itu, bersihkan ikan dengan air perahan limau atau air asam jawa. 
  5. masukkan ikan dan daun kesom ke dalam santan yang telah mendidih. biar seketika.
  6. perasakan dengan garam dan gula.


pertama kali ie cuba masak lemak cili padi tanpa menggunakan sebiji bawang mahupun sebatang serai. resepi asal dari Intai Dapur iaitu resepi Haruan masak lemak cili padi. daun kesom menggantikan serai dan termyata sedap juga bau dan rasanya. hee...

untuk sayur, ie gandingkan juadah ini dengan sambal tempe dan bilis. mahupun resepinya?
tunggu dalam entri seterusnya. haha...

SAMBAL TEMPE & BILIS


Bahan-bahan

  1. sekeping tempe - potong nipis dan goreng hingga garing
  2. segenggam bilis - digoreng garing
  3. 2 camb lada kisar
  4. 1 biji bawang besar
  5. 1 ulas bawang putih
  6. 1 camt++ garam
  7. 1 camt gula
  8. minyak masak
  9. sedikit air asam jawa
  10. sedikit kicap (jika suka)
Kaedah
  1. kisar bawang besar dan putih.
  2. panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar bersama lada kisar hingga pecah minyak.  
  3. masukkan air asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula.
  4. apabila agak kering, masukkan tempe dan bilis yang telah digoreng garing.
  5. simbahkan dengan beberapa titik kicap. gaul rata.
  6. rasa dan sedia dihidang.

ok lah, selamat makan tengahari semua. ;)






Thursday, April 18, 2013

Tidak Tahan Aku


Aku tidak tahan 
mendengar suara-suara batuk orang di sekelilingku,
Itu lah suara terakhir mu yang terngiang-ngiang di telinga ku,

Aku tidak tahan 
mendengar nyanyian lagu-lagu kegemaran mu,
Ada kenangan antara kita untuk setiap darinya,

dan aku paling tidak tahan 
berbicara tentang dirimu,
kerana setiap patah menyedarkan aku 
hakikat ketiadaan mu.


Al-fatihah...
buat arwah kakandaku tercinta,
Norbaya Tajul Arifin ♥
[18.04.1986-13.12.2007]

Mudah-mudahan dicucuri rahmat yang Maha Pengasih sentiasa~ Aamiin