Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Wednesday, September 16, 2015

Puisi; Cetusan Hati



17 Februari 2015

hujan emas di negeri orang
hujan batu di negeri sendiri
ke tempat orang mencari rezeki
tempat permulaan hidup juga yang dirindui~



12 Mei 2015

Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan,
Berusaha, bersabar dan bertawakal lah kpd Allah,
Kelak pasti ganjaran setimpal akan dikurniaNya,
Kerana Dia Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.



24 Jun 2015

Kenapa Tuhan aturkan pertemuan ini
Andai akhirnya nanti perpisahan jua terjadi
Membayangkan perpisahan itu perit
Menghadapi perpisahan itu lagi perit

Pasrahlah hati mengikut aturan Illahi
Kerana Dia lebih tahu yang terbaik buat diri
Setiap pertemuan memutik rasa sayang dan kasih
Setiap perpisahan memekarkan rasa cinta dan rindu

Astaghfirullah...
Ampuni kami ya Allah.



16 Ogos 2015

Segaris senyuman pada wajah
Bukan bermakna dia bahagia
Redup pandangan mata
Tersimpan sejuta rahsia

Biarlah senyum itu berbicara
Menyembunyi tangis di jiwa
Kerana hanya kepada Tuhan
Telah terlafaz segala kata.



p/s: sumber facebook ie. :P



Wednesday, December 17, 2014

Mentari di Wajahmu

Semalam ku lihat wajah mu ceria
Ibarat mentari di waktu pagi
Semalam ku dengar suaramu bermelodi indah
Bak desiran bayu di pantai
Semalam ku lihat tingkah mu lincah
Seperti bintang tak henti kerdipnya

Tapi mengapa hari ini
Wajah mu sugul berduka
Umpama mentari di musim tengkujuh
Ke mana menghilang pergi
Melodi indah suaramu
Tingkah berubah lemah dan longlai

Adakah kerana ujian yang menimpa
Kau hampa dan kecewa
Tuhan tidak akan menduga
Andai hambaNya tidak berupaya
Yakinlah pada Nya
Kau mampu hadapi segala
Ujian Nya sebagai penghapus dosa
Membawa diri dekat padaNya
Tuhan pemilik seluruh dunia

Sunday, July 20, 2014

JALAN PERJUANGAN



jalan ini yang aku pilih

jalan ini yang ditakdirkan

jalan ini yang kelihatan sukar

jalan ini yang memerlukan perjuangan

jalan ini yang mengajar erti pengorbanan

jalan ini akan tiba ke suatu destinasi

di mana perit jerih akan terbalas

dengan senyuman indah sang pelangi

hadiah buat seorang pejuang setia.

Tuesday, May 6, 2014

Semarak Kasih Guru

Guru,
Tak pernah jemu, bersemangat jitu
Tidak kecundang di medan ilmu
Dalam memanusiakan manusia dungu

Guru,
Bersemarak jiwanya penuh kasih
Sayang yang tidak memilih
Sabar mendidik dengan gigih
Walau jasad terasa letih

Guru,
Andai diri mu tidak dipeduli, sabarlah
Andai kesabaran mu terus diuji, bertahanlah
kerana jika bukan di dunia ini
Akhirat pasti menanti
Ganjaran yang dijanji Illahi.

Tuesday, January 7, 2014

Ragu

Harus kah aku
Bersuara bagai dewasa
yang sangat mengerti hidup ini
Perlu kah aku
Memulakan semula sebuah kisah
agar tiada duka, tiada derita
Mampukah aku
Mengukirkan senyum di matanya
yang sekian lama tidak bercahaya
Ragu...


Tuhan,
Kuatkan aku... bantulah aku...
Mendepani hidup yang penuh berliku~

Sunday, December 29, 2013

Perantau

Rumah terindah aku tinggalkan
dengan harapan masih ada peluang
untuk ku pulang menjengah halaman

Rumah kenangan jauh dari pandangan
demi tugas yang dipertanggungjawabkan
merelakan diri hidup di perantauan

Salam 2014 Masihi~

Thursday, April 18, 2013

Tidak Tahan Aku


Aku tidak tahan 
mendengar suara-suara batuk orang di sekelilingku,
Itu lah suara terakhir mu yang terngiang-ngiang di telinga ku,

Aku tidak tahan 
mendengar nyanyian lagu-lagu kegemaran mu,
Ada kenangan antara kita untuk setiap darinya,

dan aku paling tidak tahan 
berbicara tentang dirimu,
kerana setiap patah menyedarkan aku 
hakikat ketiadaan mu.


Al-fatihah...
buat arwah kakandaku tercinta,
Norbaya Tajul Arifin ♥
[18.04.1986-13.12.2007]

Mudah-mudahan dicucuri rahmat yang Maha Pengasih sentiasa~ Aamiin

Thursday, August 30, 2012

SALAM MERDEKA 2012

Usah diragut kebebasan ini
Usah dicemari kedamaian ini
Dengan sengketa, dengan prasangka
Kita sudah sepakati
Memberi dan menerima
Jadi, jangan diungkit kembali
Kenapa begitu, kenapa begini
Sucikan hati, hindari iri
Marilah kita bersatu seteguh hati
Agar berpanjangan kemerdekaan ini.

Salam Merdeka yang ke-55 Malaysia ku tercinta. Mohon Tuhan panjangkan kedamaian ini~

Monday, March 5, 2012

SUARA SEORANG GURU (full)

Anak-anak didik ku
Berdirinya aku di sini
Bukan untuk bermegah 
Dengan pangkat dan kepandaian
Bukan untuk membandingkan
Siapa yang lebih hebat di antara kita

Tetapi hadirku di sini adalah untuk
Mencurahkan ilmu tanpa jemu
Mengajar mu mengenal dunia
Mendidikmu tanpa mengenal lelah
Mengajakmu ke arah kebenaran dan kebaikan
Mendorongmu mencapai cita-cita
Memikul amanah menjadi ibu bapa kedua
Dengan penuh rela.

Namun ternyata sukar
Untuk ku fahami jiwa dan kehendakmu
Ternyata kita datang dari dunia yang berbeza
Cabaran duniamu lebih hebat
Berbagai pancaroba melanda
Bagaikan wabak berjangkit
Vandalisme, gengsterisme, bohsia, bohjan, 
Bukan sahaja di luar sekolah
Bahkan di dalam kelas
Dirimu tidak segan silu
Menempelak, mengugut, mencederakan 
Kami, guru-guru mu.

Kecewa, sedih, marah, gerun
Aku dengan berbagai rasa
Aku kecewa melihat kalian mengikut nafsu muda
Aku sedih melihat kalian tersungkur tewas
Aku marah kerana kalian membutakan mata hati
Dan aku gerun sekiranya kalian terus tersasar 
Dari pedoman.

Anak-anak didikku
Aku akan terus berjenaka
Andai itu dapat memecahkan tawa mu
Aku akan terus bercerita 
Andai itu kesukaan mu
Aku akan terus bermotivasi
Andai itu membakar semangat mu
Cuma pintaku jangan diulang kesilapan lalu.

Wahai anak-anak didikku
Aku memandang diriku dalam dirimu semua
Kerna aku juga pernah melalui jalan yang sama
Sentiasa dahagakan setitis ilmu
Teraba-raba mencari secebis sinar
Demi masa depan yang lebih bahagia.

Duhai anak-anak didik ku
Bukan kemegahan yang aku cari
Bukan wang ringgit yang aku tuntuti
Bukan pangkat dan darjat aku kejari
Tetapi yang aku impi
Adalah melihat dirimu bukan sahaja
cemerlang akademik, jaguh sukan, petah berpidato.

Bahkan aku mengharapkan
Dirimu cemerlang menjadi seorang manusia selayaknya
Yang berupaya mengikut rentak arus duniawi
Dengan pegangan yang tidak pernah kabur
Juga yang mampu tersenyum bahagia 
Dalam perjalanan menuju ukhrawi yang abadi.

Dengarlah anak-anak didikku
Suara hatiku, guru mu.


Nukilan Rasa: Cikgu Iera/ 210210
~Guru Cemerlang yang Cemerlang~ 

Tuesday, October 11, 2011

Sebuah Persahabatan

Hubungan ini
Kadangkala mengecewakan
Kadangkala membingungkan
Kadangkala menyakitkan
Bersahabat
Tetapi sendirian
Dekat tapi berjauhan
Hati tertanya-tanya
Apakah salah diri
Di mana silapnya
Oh Tuhan,
Sakitnya sebuah persahabatan
Andai tidak bersulam keikhlasan

~19 Jun 2011, Tampin~

Saturday, April 9, 2011

CATATAN DUKA SEORANG GURU

Mentari pagi memancar suram
Awan memutih penuh syahdu
Mengiringi pulang seorang anak muda
Ke pangkuan Pencipta yang berkuasa

Mesra dan riang sikapmu
Menutup semua kisah pilu
Gigih berusaha mencapai ilmu
Demi cita mu yang satu


Mutiara hati berpuluh guru
Rakan senda beratus taulan
Hari ini bersemadi tenang
Menyambut seruan Tuhan

Pergi mu menyambung duka
Luka dan pilu di hati ku
Ikhlas dan luhur jiwa mu
Kenangan hayatku


Al-Fatihah buat arwah adik Hasbullah yang telah pulang ke Rahmatullah pada malam 04.04.2011. Mudah-mudahan Allah menempatkan arwah dalam kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Amin ya Rabb

Saturday, February 19, 2011

SEBUKU DAGING

Sedih...
Perasaan itu datang lagi
Menghuni lubuk hati
yang sunyi

Sedih
Memeluk kemas
Sebuku daging
Di dalam dada
Menyesakkan jiwa

Sedih
Perasaan yang sukar diungkap
Dengan kata dan tinta
Deraian air mata
Ceritakan segala.

created on 7/2/2011

Tuesday, December 21, 2010

HASIL PERTAMA

Wajah berseri seceria suria pagi
Senyuman manis menghias bibir
Mata bersinar cemerlang gembira
Tatkala menerima hasil pertama

Owh emak, owh ayah
Gembira hatiku tidak terkira
Ini lah hasil pertama anakanda
Marilah bersama kita merasa


Adik-adik ketawa girang
Ke pantai ku bawa
Berkelah bersama
Menikmati hasil pertama

Sanak saudara tidak ku lupa
Begitu juga sahabat sehati sejiwa
Walaupun sedikit
Ikhlas ku hulur
Untuk dinikmati semua

Kepada Rabbul Izzati
Ku ucapkan syukur
Nikmat mu ini tidak terkira
Bahagianya aku
Bagai mimpi bertemu pintu syurga.

Thursday, December 16, 2010

LELAKI KINI

Tatkala Subuh berkumandang
Berapa ramai lelaki yang gagah
Menentang nafsu tidur dan syaitan
Bangkit menunaikan kewajipan

Bingit mendengar suara lelaki
Bersorak kerana perlawanan bola
Seakan pecah halkum
Menjerit satu perkataan
"Gol!!!"

Tetapi berapa ramai lelaki
Yang suaranya mengalunkan azan
Yang bibirnya sering basah
dengan zikrullah
dan kalimah suci al-Quran

Sepetang bersepakan di padang
Hingga Maghrib pun tidak dihiraukan
Masjid bagaikan suatu persinggahan
Bukan lagi suatu kepentingan

Aku memang seorang pemilih
Apatah lagi dalam soal suami
Kerana ku lihat kini
Ramainya lelaki yang bukan sejati

Ku mengimpikan seorang suami
Yang hidup dan matinya kerana Allah
Yang berani melangkah ke hadapan
Mengangkat takbir sebagai imam

Bukan ku damba seorang lelaki sempurna
Kerana aku juga bukan siapa-siapa
Cukuplah seorang lelaki biasa-biasa
tetapi sentiasa berusaha
untuk menjadi sempurna

Wednesday, December 15, 2010

SAJAK BUAT GURU

Cikgu,
Wajahmu terukir senyuman
Matamu bersinar kasih sayang
Harapan mu seluas lautan
Pada anak didikmu ini
Yang hampir sesat
Dalam perjalanan kasih
Mengapai impian

Cikgu,
Jasa dan pengorbananmu
Bagai lautan
saujana mata memandang
Kini
Anak didikmu ini
Berjaya menempatkan diri
Di jalan menuju masa depan
Yang gemilang

Cikgu,
Terima kasih atas segalanya
Doakanlah aku agar
Terus berjaya
Semoga suatu hari nanti
Jasamu itu dapat
Ku balas jua.


Ie buat suspend je cakap nak siarkan Sajak Buat Guru ni pada hari guru nanti. Uih, lambat sangat 16 Mei. Takut lupa pulak. Hehe... Hah ini lah sajak yang dicipta pada tahun 2003.

Ie potong rangkap ke-4, bersamaan empat baris je dari sajak ni sebab rangkap tu canggung sikit. Nanti korang tak faham atau mungkin salah faham. Sajak ni betul-betul buat seorang guru tau! Huhu..

Anyway, buat followers and para pembaca yang juga merupakan seorang pendidik, berusahalah yang terbaik buat pelajar-pelajar anda. Insyaallah, sampai bila-bila pun nama anda akan terus dikenang.

Saturday, December 11, 2010

DAMAR

Sajak ini telah dicipta pada tahun 2004 untuk terbitan majalah sekolah. Tajuk sajak ini merujuk kepada nama majalah tersebut iaitu, Damar. Pada tahun sebelumnya, ie juga pernah menghantar sajak ke sidang redaksi majalah sekolah tapi tidak disiarkan oleh pihak penerbitan.


Syukur Alhamdulillah, untuk sajak Damar ini bukan sahaja diterbitkan bahkan mendapat ruang satu muka surat penuh untuknya sahaja. Bangga ie sebagai budak sekolah masa tu. Huhu.. Okey lah.. berikut bait-bait sajak Damar hasil nukilan dari ie, ketika di usia 17 tahun. =D

Damar,
Saban tahun kau hadir
Saban tahun aku memilikimu
Namun tak pernah sekali
Dirimu aku hargai
Kerana dahulu aku bencimu
Kau bebankan abuya*ku
Kau memaksaku memiliku mu
Walau dengan sejumlah harga cuma

Damar,
Semalam aku masih membencimu
Setiap bekas tanganku
Ilham dan nukilanku
Tidak satu pun
Kau hiasi di dadamu
Entahkan hilang entahkan dibuang
Atau masih rapi tersimpan

Damar,
Hari ini, saat ini
Di kala aku berada di sini
Di pintu perpisahan perjuangan
Di birai laman kenangan
Aku sedar nilai dirimu

Damar,
Bertapa besar perananmu
Sebagai lukisan memori kepadaku
Dengan simbahan dakwat hitam
Kau menjadi penawar
Pengubat rindu dihatiku
Sesudah aku bergelar
Bekas pelajar di sini.


Nantikan Sajak Buat Guru yang ie tulis pada tahun 2003. Sudah tersimpan dalam draf. Hari guru nanti ie siarkan, boleh? Hee…


*bapa

Tuesday, December 7, 2010

SAHABAT YANG DIRINDUI

Siang merangkak pulang
Bergantikan malam yang kelam
Mengiringi alam yang sepi
Kerlipan bintang di langit
Mengamit aku menjengah
Ke kolam kenangan

Betapa hati ini
Merinduimu sahabatku
Tawa riangmu
Lawak jenakamu
Menguntumkan senyuman
Di bibirku

Tapi kenapa hari ini
Kau buat aku tertanya-tanya
Tanpa khabar berita
Tanpa suara yang menyapa
Sepi dan penuh misteri
Ah, rindunya aku
Kepadamu sahabatku

Semoga titisan embun esok
Akan menemukan kau dan aku
Agar dapat ku nyatakan
Rinduku padamu.


Puisi ini telah ie cipta pada 08.01.2004 buat seorang sahabat ie. Waktu tu, hampir seminggu dia tidak hadir ke sekolah. Ie tertanya-tanya, sakit ke apa ke... Ie call dia pun selalu tak dapat bercakap dengan dia. Lastly, hari terakhir persekolahan minggu itu, dia muncul. Alhamdulillah... malam sebelumnya ie dah jiwang-jiwang karat tulis puisi ini. huhu... anyway, ie tak pernah tunjukkan puisi ini kepadanya. Huhu... Biarlah rahsia.... =P

Thursday, November 4, 2010

PERJALANAN USIA

Hari demi hari berganti
Usia semakin meninggi

Sudah berdekad menghuni bumi
Bermusafir dalam daerah duniawi

Perjalanan usia
Semakin mendewasakan kita

Berbagai ranjau berduri diredahi
Bermacam ragam manusia ditemui
Ilmu dan pengalaman terus digali

Isikan usia sebaiknya
Dengan amalan murni
Dengan bekalan abadi

Moga perhentian di akhirat sana
Bermukim di Syurga Firdausi
Meneguk bahagia yang hakiki



Beberapa rangkap sajak ini dipetik daripada buku latihan Tahun 5, Aktiviti Cemerlang Terkini KBSR. Dalam latihan tersebut, pelajar diminta melengkapkan sajak tersebut dengan perkataan sendiri berdasarkan tajuk yang diberi. Ayat dengan font italic itu merupakan baris-baris sajak yang telah diberikan manakala yang font normal itu adalah nukilan ie sendiri. Alhamdulillah, dalam mencari idea untuk menulis puisi baru, ie terpandang latihan ini. Terus ie lengkapkan.

Anda yang belum pernah menulis sajak, patut mencubanya. Sajak adalah sejenis puisi moden yang sangat mudah untuk ditulis. Yang penting anda tahu apa yang hendak anda sampaikan (tema). Melalui sajak, kita dapat meluahkan perasaan dengan penuh simbolik. Sajak juga bersifat agak bebas berbanding syair dan pantun yang lebih terikat .

Tuliskan aje isi hati mu mengikut susunan perkataan yang sehampir mungkin iramanya, kena gaya pasti sajak lah tu jawapannya. Silap-silap boleh digunakan sebagai lirik lagu, tinggal untuk gubahan melodi aje. Jadi apa tunggu lagi? Jom, cuba tulis sajak!

Wednesday, September 1, 2010

KAMI BUNUH MU MALAYAN UNION

Deru angin yang datang membisikkan
Kesombongan satu bangsa yang tak mengenal adat sopan
Lalu menegakkan hukum
Beraja di mata, bersultan di hati
Di bumi ini, bumi seluruh anak insan
Siangnya di bakar matahari derita
Malamnya diulit mimpi duka
Sekian lama hidup di penjara belantara

Dengan angkuhnya utusan dari seberang
Menapak dari dada ke dada
Seperti mimipi dengan igau yang menakutkan
Dan lihatlah satu demi satu raja kami
Tanpa darjat tanpa daulat
Mac Michael meniupkan angin sombong
Dari wilayah tak bersopan
Maruah kami dicabul, dinoda

Awan mendung gelap pekat
Menutup bumi tercinta
Halilintar berdentum membelah bumi
Hujan panas turun renyai-renyai
Membasahi bumi anak-anak derita
Ayam jantan berhenti berkokok
Embun pagi menitik terhenti
Murai pun tidak berkicau lagi

Kami kehilangan segala
Kami hilang pedoman
Kami hilang mutiara bertatah
Ratap tangis anak-anak peribumi
Sedu sedan tiada terkira lagi

Puisi ini Ie perolehi ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara, PLKN siri 2/2005 dari guru modul kenegaraan untuk persembahan pentas platun 8. Sumber asal tidak diketahui. Ie berbesar hati berkongsi puisi ini untuk penghayatan semua warga negara Malaysia yang tercinta.

Apa pun sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-53 semalam, Ie doakan negara kita terus aman damai. Mudah-mudahan sejarah hitam negara dalam penjajahan tidak akan berulang lagi. Insyaallah. Mari lah kita terus bersatu-padu mengekal dan mengukuhkan kemerdekaan negara kita. Merdeka!! Merdeka!! Merdeka!!!

Friday, April 9, 2010

Teristimewa Buat Teman-Teman Seperjuangan

Teman,
Aku sedar diri ini serba kekurangan
Sering salah dalam berbicara
Sering menyakiti dalam menyapa
Sering terkasar tingkah dan tutur kata
Namun janganlah kiranya
Kekurangan ini membawa sengketa
Antara kita.

Teman,
Ku mohon jutaan kemaafan
Sudilah kiranya diampunkan setiap kekhilafan
Kerana aku juga hanya lah seorang insan
Yang tidak lepas dari kesilapan.

Teman,
Di akhir pertemuan ini
Jambangan terima kasih ku hadiahkan
Buat kalian semua
Ketahuilah teman
Sesungguhnya kalian telah mewarnai
Kanvas perjuangan ku
Di menara gading ini
Dengan lukisan yang terindah
Untuk ku tatap sepanjang zaman.

Teman,
Mudah-mudahan kita dipertemukan lagi
Walau dalam suasana yang berbeza
Namun kemesraan itu tetap terasa.

Dan kepada Tuhan,
Ku bermohon agar
Ikatan persahabatan ini terus berkekalan
Selagi hayat dikandung badan.