Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Showing posts with label diari hati~. Show all posts
Showing posts with label diari hati~. Show all posts

Friday, November 2, 2012

November 1st 2012



sebaris ayat mengungkapkan rasa, 
sebaris ayat juga menerbitkan rasa, 
terima kasih buat yang sudi berkongsi rasa, 
rasa itu menggembirakan jiwa.



Alhamdulillah, Allah lanjutkan usia ini hingga ke suku abad sudah. mudah-mudahan seluruh hidupku yang telah berlalu mahupun akan datang sentiasa dibawah rahmatNya~ 

Aamiin Ya Rabb...



surprise cheese cake from mak & adik-adik 

Thanks a million buat family yang menjadikan hari ini sungguh menyeronokkan. Simple cake but that one which I like.


Terharu dengan ingatan dan ucapan dari rakan-rakan. Jutaan terima kasih jua yang mampu aku katakan. Kalian membuatkan diri ku rasa dihargai.


Mudah-mudahan Allah jua yang dapat membalas doa dan kebaikan kalian semua dengan kebaikan juga. Terima kasih semua~ :D

Wednesday, April 18, 2012

18 APRIL 2012


love can touch us one time
And last for a lasttime
And never let go till were gone

love was when I loved you
One true time I hold to
In my life well always go on...


Hampir 5 tahun kau pergi tinggalkan kami. Terasa baru semalam semua terjadi. Andai kau masih bernafas di dunia ini, hari ini pasti akan terukir sebuah lagi sejarah sambutan ulangtahun kelahiran mu yang ke -26. 

Tapi aku tahu, Allah lebih menyayangimu. Kau pergi di kala usia muda, baru 21 tahun. Menyentap hati seluruh ahli keluarga.

Setelah pemergian mu, baru ku tahu. Betapa kami sangat menyayangi mu. Sangat. Tiada kata yang mampu menggambarkan betapa sayang dan rindunya kami terhadapmu.

Mudah-mudahan rohmu di limpah rahmat yang Esa sentiasa dan semoga Allah mempertemukan kita semua di syurgaNya kelak. Perkenankanlah ya Allah~

Sunday, February 26, 2012

TAK PUAS HATI!

Bila tak puas hati, aku selalu diam meredakan hati yang tak puas. Tapi seringkali keadaan menjadi sukar bila orang di sekeliling tidak memahami aku. Bahkan menambahkan lagi rasa hati ku. Bila aku berbicara ketika hati tengah panas, banyaklah perkataan yang mungkin menyinggung perasaan orang akan keluar. Dan begitu lah terjadi bila sampai satu tahap aku tak tahan lagi.

Seringkali perkara yang membuatkan aku tidak puas hati adalah bila orang tidak mematuhi kehendak aku. Bukan kehendak untuk kepentingan aku seorang bahkan untuk kepentingan semua. Kalau untuk kepentingan peribadi, akal logik akan merasionalkan balik rasa tidak puas hati ku. Dan ia akan reda dengan cepat. Tapi bila aku tidak puas hati kerana aku berada di pihak yang benar, itu memang sukar untuk reda.

Aku juga tidak puas hati apabila perkara yang aku pesan berkali-kali sukar orang turuti. Apa guna aku bersuara andai orang tidak mengendahkan. Bahkan buat tidak tahu sahaja. Very annoying and frustrating lah!
google search

Kadangkala aku rasa tanggungjawab yang aku pikul terlalu berat. Terbeban di bahu seorang diri. Aku minta pengertian orang disekeliling tapi permintaan ku bagai mencurah air ke daun keladi, bagai debu yang ditiup angin berlalu. Siapa sudi mendengar?

Semua melihat aku boleh segalanya, aku ada serba-serbi. Mereka buat aku sesuka hati, sewenang-wenangnya. Memang lah kalau begitu sampai masa hati ku rasa marah. Tak puas hati. Aku bukannya mahu menjadi Puteri Raja atau Ratu yang mesti dipatuhi kehendak sewenangnya. Aku cuma mahu rasa diri dihargai dan dihormati selayakknya sebagai aku.

Kalau dituruti hati ni, mahu je aku halau semua yang membuatkan aku jadi begini. Tak pun biar aku aje yang pergi. Biar hidup sendiri daripada menanggung rasa hati ini~

Saturday, February 11, 2012

KEKESALAN

Seminggu dua ini sangat sibuk. Sekolah bertungkus lumus membuat persiapan untuk pemantauan berkelompok dari Jabatan Pelajaran Negeri. Paling tak tahan, pengetua minta guru-guru tingkatan menghias kelas masing-masing. "Kelas cikgu, mencerminkan imej cikgu." aiyak, kata-kata tak leh blah dari pengetua.
Atas sebab berdedikasinya kami, para guru, berusaha juga menghias apa yang patut. aku sebagai guru bertanggungjawab ke atas bengkel 1 Kemahiran Hidup juga perlu bersihkan bengkel. belum lagi menanda 10 buku latihan bagi setiap kelas yang diajar untuk semakan pemantauan. memang dasyat tahap kesibukan kami.
Anyway, minggu yang sibuk sudah berlalu. Hari ini, hari sabtu, sekolah ganti pula. Jadual ganti adalah untuk hari khamis, hari yang padat dengan kelas bagi ku. So aku masih tetap sibuk seperti hari-hari yang lepas. Actually aku nak cerita untuk hari yang sibuk ini, aku telah melakukan banyak kesilapan. Sampai sekarang aku masih teringat-ingat kesilapan yang aku buat tu. Kesilapan yang tidak patut bagi aku.


Kesilapan 1:
Aku tiba lewat dari kebiasaan ke sekolah hari ini. Sebaik sahaja meletakkan beg dan buku-buku ke bilik guru, aku kembali semula ke pejabat, menghantar beberapa lukisan teknik untuk di rezo. kemudian aku balik semula ke bilik guru, mencari latihan untuk kelas 1A/B (kelas Kak Hanis, rakan sekerja ku. Dia minta untuk menggantikannya sekejap kerana dia mungkin lewat). Tak jumpa.
Aku kembali lagi ke pejabat untuk mencarinya di rak rezo. Nasib baik jumpa. Dalam kekalutan aku mengejar masa, lagu 'Negaraku' berkumandang dari dewan. Rutin setiap pagi bagi pelajar-pelajar sebelum masuk ke kelas. Keluar dari pejabat, aku lihat seorang guru Cina berdiri berdekatan tandas. Kemudian, seorang guru India yang sedang berjalan pun berhenti berdekatan guru Cina tadi. Aku ingatkan diorang beratur untuk masuk tandas. Tapi aku tengok pintu tandas terbuka, tiada siapa guna.
So, aku yang berjalan terus sempat bertanya kepada guru India ketika melintasinya, kenapa berhenti. Dia jawab, 'lagu Negaraku.' Aku yang sedang berjalan terus berjalan. Sempat pulak aku cover malu dan cakap, kalau tak berhenti boleh tak? dan aku terus berjalan masuk ke bilik guru. Walaupun guru-guru lain di bilik guru tak berdiri (lagu dari dewan sayup-sayup sahaja kedengaran di bilik guru), aku tetap rasa malu pada dua guru tadi. Ya Allah, aku ni bumiputera Tanah Melayu, lagi tulen warganegara Malaysia. Kenapa lah aku buat perkara bodoh macam ni. Malu sangat rasa.


Kesilapan 2:

Jadual yang padat, menyukarkan aku mencuri masa ke kantin untuk makan. Kerjaya guru tak sama seperti pegawai-pegawai kerajaan yang lain. Tiada masa yang spesifik diperuntukkan untuk kami berehat, makan dan sebagainya. Jadual kelas ku berakhir jam 1200 tengahari. Sekitar 1215 tengahari, dengan perut berkeroncong, aku bergegas ke kantin. Tapi alangkah kecewanya aku bila tengok akak-akak kantin dah kemas semua barang. Maklumlah sesi hari ini berakhir jam 1240 tengahari. Akak-akak kantin tu cuma menunggu beberapa orang guru lelaki yang sedang minum sahaja lagi sebelum balik.

Salah seorang dari guru-guru tersebut ialah guru G9, Cikgu Ismail. Dia ni dah pangkat ayah dengan aku. Tapi sebab dia selalu bergurau, aku selesa berbual dengannya seperti kawan-kawan lain. Aku terperasan dia pakai selipar jepun, warna biru. Biasanya dia memakai kasut bertutup lengkap. Aku dengan selamba badaknya pun bertanya, "Kenapa Cikgu Ismail tak pakai kasut hari ni?" Cikgu tu tak terus jawab macam biasa tapi seperti menyorokkan sedikit kakinya di bawah bangku.

Cikgu Izwan pula yang mencelah, dia dah lesen besar. pakai apa pun boleh. Ya Allah, awat lah laju sangat mulut aku ni. Kalau tak tahu masalah orang jangan ditanya. Rasa bersalah sangat. Kalau tak ada apa-apa mesti Cikgu Ismail takkan cuba sorokkan kaki dia dan tak akan habis kata untuk menjawab persoalan aku. Dia guru cemerlang Bahasa Melayu. Kenapa? kenapa? kenapa????? Ahh.., menyesal sangat dengan apa yang aku telah buat.

Actually dah lama tak update blog ni. Atas sebab kesukaran hati dan akal memikirkan hal ni, aku putuskan untuk bercerita di sini. At least dapat juga aku luahkan kekesalan ku. hukhukhuk. Mudah-mudahan aku tak ulangi kesilapan yang sama seumpama ini lagi. Insyaallah~

p/s: kunci bengkel 1 pun hilang hari ini. uwaaaaaaaaa :(

Sunday, May 15, 2011

Shoutul Amal - Guruku.wmv


Aku memulakan pelayaran internet ku pagi ini di laman youtube. mendengar beberapa buah lagu berkisar tentang guru. Sungguh banyak lagu yang mendendangkan pengorbanan guru. Salah satu aku share kn di facebook. Untuk blog pula aku terus mencari sehingga lah bertemu video lagu ini. Sama-sama kita dengarkan sempena menyambut hari guru 16 Mei 2011 esok.

Tiba-tiba hp ku berdering. Panggilan masuk dari mak su. Mak su sampaikan satu berita tentang Kamal.

Kamal adalah anak saudara mak su. Mak Su pula adalah isteri kepada bapa saudara ku, Pak Su. Ketika aku di tahun 1 pengajian di UTM, aku pernah kemalangan. Oleh kerana kecederaan ku tidak teruk, maka aku tidak balik ke Terengganu. Melalui Kamal, mak mengirimkan keropok sira. Aku tahu sebenarnya supaya Kamal dapat lihat keadaan aku. Jadi dia dapat mengiyakan kepada ibu bapa ku, yang aku tak apa-apa. Ketika itu Kamal sudah di tahun akhir pengajiannya dalam kursus pendidikan Kimia.

Tiga tahun kemudian, aku bertemu buat kali ke-2 dengan Kamal pada 2010 ketika majlis perkahwinan adik Mak Su. Beberapa bulan lagi, Kamal bakal melangsungkan perkahwinan dia pula. Ketika itu, dia sudah bekerja sebagai guru di Sarawak manakala aku berada di tahun akhir pengajianku.

dan baru sebentar tadi, berita yang Mak Su sampaikan adalah Kamal sudah meninggal dunia. Dia rebah dan terus pergi. Innalillah...

Jenazahnya masih di Sarawak, dalam proses dibawa pulang. Arwah meninggalkan seorang isteri bersama seorang anak kecil yang belum pun berusia setahun. Walaupun hanya bertemu sebanyak dua kali, tapi sudah cukup mengenalkan aku dengan seorang manusia baik hati bernama Kamal.

Pemergiannya pasti meninggalkan kesan besar dalam keluarga beliau kerana sebagai anak sulung, beliau lah pengganti tunggak keluarga yang telah pergi dulu.

Ya Allah, tempatkanlah arwah dalam kalangan hamba-hamba Mu yang soleh dan bertaqwa. Ampunilah dosa dan cucurilah rahmat-Mu buat arwah. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Kaya.

Budi yang baik di bawa mati. Terima kasih, Kamal.

Al-Fatihah buat arwah Kamal. Meninggal pada 15.05.2011 di usia 27 tahun.

Saturday, January 8, 2011

MINGGU PERTAMA JADI GURU

Wah, sibuk bebenor rasenya! Hari ini baru dapat rehat. Itu pun dalam keadaan was-was nak taip entri baru. Iye lah, banyak lagi resit yang belum ditulis, RPH untuk minggu hadapan yang belum disiapkan, persediaan menghadapi pengajaran lagi... owh, banyaknyerr!

Tugas paling besar adalah menjadi guru tingkatan untuk kelas 1B. Kutipan yuran yang tinggi memandangkan SMJK Pulau Sebang merupakan sekolah bantuan modal, menyebabkan duit yang berpindah ke tangan juga menimbun. Nasib baik pengetua murah hati menawarkan peti besinya untuk menjadi tempat simpanan sementara aku menyiapkan resit. Huhu...

Cabaran paling besar ialah menghadapi karenah pelajar-pelajar di kelas belakang. Pelajar-pelajar kelas hadapan tak kurang hebatnya bersuara. Bising satu kelas tapi bila kita start P&P, automatik mereka diam dan memberi perhatian. Berbeza dengan pelajar kelas belakang. Tak kira masa P&P atau tak, mulut mereka tak pernah diam. Yang paling teruk, siap jalan ke sana-sini lagi seolah-olah aku tak ada di hadapan.

Untuk pelajar tingkatan 1, sekali basuh, dah terdiam tapi untuk pelajar tingkatan 2 dan 3... ish. minggu hadapan aku akan lebih berkeras dalam menguruskan mereka. Suasana dan persekitaran yang bising dan berserabut menyulitkan aku melaksanakan P&P di dalam kelas. Aku tidak mahu keadaan ini berterusan. Bantulah aku, ya Allah.

Selain menjadi guru tingkatan dan mengajar subjek Kemahiran Hidup Teknikal dan Sejarah, aku turut memegang tanggungjawab sebagai guru Kadet Polis, jurulatih Olahraga, guru Persatuan KH dan Keusahawanan serta guru kelab PPDa (PROSTAR). Setiap satu memerlukan komitmen yang berbeza.

Pekerjaan guru nampak mudah tapi sebenarnya hanya dengan satu kesilapan guru boleh merosakkan manusia keseluruhannya. Nauzubillah.... Mudah-mudahan Allah sentiasa membantu ku dalam mendidik dan menyampaikan pengajaran yang bermakna buat pelajar-pelajarku agar menjadi insan berguna kelak. Amin...

Thursday, December 23, 2010

2010 YANG PENUH MAKNA

2010 bakal melabuhkan tirainya dalam tempoh seminggu lagi. Sepanjang tahun ini pelbagai pengalaman, kejayaan, dugaan dan bermacam-macam perkara telah aku lalui. Entri kali ini untuk kenang-kenangan ku pada masa-masa akan datang andai ingatan ini kian luput mengikut peredaran zaman.

Merlion Park

Januari 2010, aku bersama serombongan rakan sekuliah bercuti ke Singapura. Ini kali pertama aku ke oversea walaupun hanya di seberang tambak Johor aje. Huhu... Aku membayar RM80 untuk urusan passport berkumpulan. Kami ke sana hanya untuk satu hari sahaja.

Antara tempat-tempat yang telah kami lawati ialah Science Centre Singapore, Merlion Park, Masjid Sultan dan Pulau Sentosa.

Science Centre Singapore

Masjid Sultan

Pulau Sentosa

Paling best di Singapore adalah melihat teater di tepi laut, Song of The Sea. Teater yang penuh dengan permainan air, cahaya dan bunga api.

sebelum

semasa

Seharian kami berjalan dan bergambar memang memenatkan.

Di universiti, tahun ini aku berada di semester 8. Tahun akhir, semester akhir orang panggil Otai senior lah. Haha... otai punye otai, semester ni lah paling menyerabutkan dengan subjek-subjek kritikal seperti Projek Sarjana Muda (PSM) II dan Teknologi Pemakanan.

PSM dibuat secara individu menyebabkan aku betul-betul berdikari. Aku membuat kajian terhadap minat dan pencapaian pelajar dalam subjek Pengurusan Makanan. Responden yang terlibat ialah pelajar-pelajar di SMT (ERT) Azizah, Johor Bahru.

Akhirnya berjaya disiapkan

Kali pertama aku ke sana, di temani seorang rakan. Kemudian kali yang seterusnya aku bersendirian menunggang motorsikal dari Skudai ke JB. Memang mencabar. Tetapi semua cabaran itu terbayar apabila aku mendapat A- untuk PSM II. Walaupun ada minus still A kan. Hehe...

Bukan 1 tapi 5 jilid diperlukan

April 2010, final examination dan viva pembentangan PSM menutupt tirai perjuangan ku di UTM. Saat perpisahan yang memang mengundang 1001 perasaan.

Mei 2010, bermula lah kehidupan ku sebagai penganggur terhormat di rumah. Selain mengajar adik dan sepupu-sepupu mengulangkaji pelajaran dan mengaji Quran pada waktu malam aku turut belajar menjahit di balai raya kampung. Walaupun menuntut dalam pengkhususan Kemahiran Hidup di UTM, kemahiran menjahit ku masih lemah.

Jadi dengan mengasah kemahiran sedia ada dapat lah aku mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk menghadapi dunia perkerjaan kelak. Alhamdulillah sepanjang 3 bulan belajar dapat lah aku menjahit beberapa pakaian iaitu baju kurung pesak biasa, baju kurung riau, kain lipat depan, kain kembang payung, baju melayu cekak musang, baju melayu teluk belanga dan lain-lain lagi.

Jun memang menyeronokkan. Aku mendapat sepupu baru tanggal 13 Jun. Muhammad Lutfi bin Ibrahim namanya.

Lutfi; 6 bulan sudah

18 Jun pula, kami meraikan ulangtahun kelahiran ke-10 adik bongsuku Amirul. Sudah lebih tiga tahun kami tidak menyambutnya memandangkan beliau tidak memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mesti pandai membaca. (diingat setiap tahun tapi tanpa sambutan. Kadang-kadang aje ada kek. Tapi hadiah maintain every year). Huhu...

Birthday boy yang sangat handsome!

Jemputan untuk satu kelas tapi sayang tak sampai separuh kawan-kawan Amirul yang datang. Tak apa nanti kita buat lagi ye Aro~

Ogos 2010, aku ke Kelantan untuk temuduga jawatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih. Terima kasih Kak Erni kerana menumpangkan saya bermalam di rumah mu. Juga terima kasih buat Kak Anis. Mereka berdua bersama-sama ku membuat persiapan terakhir sebelum menghadapi temuduga tersebut.

28 September 2010 aku diraikan dalam majlis konvokesyen ke-45 UTM. Hari paling bermakna dan cukup membahagiakan dalam sejarah 23 tahun hidupku. Melihat wajah-wajah tersayang yang turut tersenyum bangga memang menyentuh hati dan perasaan.

Gold Medal??? =D

Beberapa hari sebelum itu, fakulti meraikan pelajar-pelajar yang mendapat Anugerah Dekan. Aku sangat berhempas pulas pada semester akhir untuk mendapatkan medal ini. Result semester 7 yang merudum dari semester-semester sebelumnya mengakibatkan PNGK pun turut menjunam.


Cabaran besar untuk mencapai target 3.50 dan ke atas bagi melayakkan diri menerima anugerah ini hampir-hampir menyebabkan aku berputus asa. Alhamdulillah, akhirnya aku memilikinya.


Kenangan yang tak kan luput sampai bila-bila

22 November 2010, aku mendaftarkan diri ke SMJK Pulau Sebang, Tampin Pos, Melaka sebagai GSST. Walaupun sedikit kecewa dengan keputusan penempatan yang tidak menepati pilihan ku, aku tetap bersyukur atas rezeki yang Allah kurniakan ini.


09 Disember 2010, Perodua MyVi yang ditempah dan diuruskan proses pembeliannya oleh ayah telah selamat tiba kuncinya ke tangan ku. TBB kini telah ku tukar dengan panggilan Bluevy kerana warnanya yang hampir menyerupai warna biru berbanding warna sebenar, kelabu.


Bluevy

Insyaallah 27 Disember ini aku akan berangkat ke Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka keesokan harinya. 30 Disember pula aku bakal menghadiri mesyuarat guru SMJKPS buat julung kalinya setelah menerima perlantikan DC41 ini dari JPMelaka.


03 Januari tahun hadapan akan bermulalah episod baru dalam hidup ku sebagai seorang guru. Mudah-mudahan Allah sentiasa bersamaku dalam apa jua keadaan.


Ya Allah rahmati dan lindungilah aku di mana sahaja aku berada. Bahagiakanlah aku dan seluruh ahli keluargaku dengan setiap nikmat pemberian Mu. Amin Ya Rabb~

Monday, December 13, 2010

TIGA TAHUN BERLALU

Dia satu-satunya milikku
Tiada lagi selain dia
Dia gembira dalam kekurangan
Dia rela memberi tanpa harapan
Dia mengalah dengan kemenangan

Hari ini, genap tiga tahun kau pergi meninggalkan kami. Namun hingga saat ini, tiada hari yang pernah ku lalui tanpa terlintas ingatan padamu. Kak, maafkan segala kesilapanku. Aku berdoa mudah-mudahan Allah merahmati kita dan menemukan kita semula di syurga sana. Perkenankanlah Ya Allah.

Dalam leka melayari hidup
Ujian datang menduga
Perkara yang tidak pernah disangka
Tidak mustahil terjadi
Atas kehendak yang Maha Kuasa

“Maha Suci Allah yang ditangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antaramu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah Al-Mulk, ayat 1-2).

Kak, mudah-mudahan rohmu
sentiasa dicucuri rahmat yang Esa
Seperti luhurnya hatimu
yang menemani kenangan kita bersama.

Al-Fatihah buat arwah Norbaya. 18.04.1986-13.12.2007.

Friday, December 10, 2010

TBB ____

Semalam, 09 Disember 2010, TBB tiba di hadapan rumah. Wah.. myVi 1.3L Standard EZ keluaran Perodua yang berwarna kelabu atau Mendallion Grey (Metallic) itu adalah milikku. Perasaan? Mesti lah seronok dan mengujakan. Seperti tidak percaya pun ada. Dalam masa tiga minggu di samping kesibukan menguruskan penempatan posting, TBB muncul depan mata.

Semuanya bermula apabila aku mendapat berita penempatan posting di Melaka pada 22 November yang lalu. Selama dua hari aku di sana, mendengar taklimat dari Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), mendaftarkan diri di SMJK (C) Pulau Sebang, mengambil surat tawaran perlantikan dan sebagainya.

24 November aku tiba di Kuala Terengganu. Akaun sumpah perlu disahkan di Suruhanjaya Sumpah dan ia bukan sesuatu yang biasa bagi aku. Aku serahkan pada ayah. Dalam masa yang sama ayah meminta semua dokumen untuk mengambil kereta.

Seterusnya aku poskan akuan sumpah berserta surat memohon tuntutan perjalanan ke kerani sekolah mengunakan perkhidmatan pos ekspress pada hari Khamis, 25 November. Namun atas kecuaian aku, aku terlepas waktu kutipan iaitu 2.30 petang. Jumaat adalah cuti umum bagi negeri Terengganu. Nampaknya hari Isnin baru tiba di sekolah.

Aku juga menghubungi Mak Cik Piah, tuan punya rumah sewa. Aku tidak sempat berjumpa dengannya ketika di Melaka. Mujur jiran di situ membantu memberikan nombor telefon untuk berhubung dengan Mak Cik Piah. Justeru dapat lah aku berhubung walaupun berada di Terengganu.

Kerani sekolah menelefon ku pada hari Isnin berikutnya bertanyakan akuan sumpah kepunyaan ku yang belum beliau terima. Runsing memikirkan. Lastly aku mengambil keputusan untuk membuat akuan sumpah baru pada keesokkan harinya. Tapi dalam masa yang sama, pihak Bank Islam menelefon menyatakan pinjaman ku telah diluluskan dan meminta agar aku ke sana untuk menandatangani perjanjian.

Petang itu juga, ayah yang masih sibuk di lokasi kerjanya meminta aku ke Bank Islam bersama-sama dengan Encik Razak, dealer Perodua merangkap kenalan lama ayah. Sehingga jam 6 beliau tidak tiba. Aku tidak suka sekali dengan janji yang dimungkiri tapi apakan daya.

Selasa, 30 November. Encik Razak akan datang pagi ini. Namun Jam sepuluh pun belum nampak batang hidungnya. Dengan masa yang ada, aku ke cyber café untuk mengisi permohonan temuduga ke lantikan tetap di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Duk syok-syok isi, Anis call beritahu yang Encik Razak dah sampai kat rumah, meminta aku balik segera memandangkan beliau ada kerja lain lagi.

Dengan tension nya aku balik ke rumah. Aku mengajak Amirol menemankan aku. Walaupun Encik Razak datang bersama seorang anak saudaranya yang hendak dihantar ke sekolah untuk latihan sukan tapi sebab bukan kenal sangat dengan beliau, aku lebih selesa jika ada adik menemankan. Huhu.. Kami berdua menaiki kenderaan Encik Razak ke Bank Islam.

Banyak borang yang nak kena sign. Encik Razak pula tunggu kat kereta je. Ayah call lagi, suruh bace dulu before sign. Tapi dengan situasi nak cepat macam tu, aku main sign je lah. Aku sempat bace sepintas lalu aje. Kemudian aku diminta membayar Advanced Payment sebanyak RM555 dan RM20 untuk duti setem kepada pihak bank. Jadi untuk bulan pertama nanti, aku tidak perlu membuat bayaran lagi.

Bayaran bermula pada bulan kedua nanti dan bayaran perlu dibuat sebelum 05 hari bulan setiap bulan. Malam tadi ayah dah serahkan cek bernilai RM555 untuk ini. Alhamdulillah. Harga sebenar TBB ialah RM46500. Ini lah barang termahal yang pernah aku beli sepanjang 23 tahun hidup ku ini.

Mujur ada ayah yang menguruskan segalanya. Kalau serahkan kepada ku entah berapa lama masa yang aku perlukan untuk berfikir. Huhu…

Setelah pulang ke rumah, aku menunggu sehingga pukul dua petang untuk menghubungi pejabat sekolah bertanyakan tentang surat akuan sumpah. Alhamdulillah, Encik Zaidi mengatakan baru sekejap tadi beliau menerima pos tersebut. Mungkin aku menggunakan poskod yang salah kerana poskod yang diberi dari JPM ialah 73009 sedangkan alamat di laman web sekolah ialah 73000.

Pada petang yang sama juga, aku sekali lagi ke cyber café untuk menyiapkan mengisi borang di laman web SPP tadi. Aku mesti menghantar permohonan itu hari ini juga sebelum masuk bulan Disember esok kerana Alin, rakan seuniversiti ku dulu sudah pesan, isi cepat dapat temuduga cepat. Terima kasih atas peringatan itu, Alin.

Mengenai rumah sewa pula, aku lupa tarikh sebenar persetujuaan ku dengan Mak Cik Piah. Sebenarnya rumah tu, milik anaknya. Rumah sewa dua bilik tanpa sebarang perabot. Sewa bulanan RM320 sebulan.

Untuk permulaan ini, aku perlu membayar RM320 untuk deposit (ini untuk sewa bulan terakhir nanti), RM320 untuk sewa bulan pertama dan RM100 untuk bil air dan elektrik bulan terakhir (kalau da balance, beliau akan pulangkan). Aku bersetuju dan meminta agar menghantar teks mesej nombor akaun untuk ku bank in duit seberapa segera.

Masalahnya sampai hari ini nombor akaun tu belum diteks kan ke nombor ku. Sudah dua kali aku telefon bertanyakan tentangnya. Mungkin beliau takut nak beri kepada orang yang tidak dikenali memandangkan zaman sekarang dengan nombor akaun sahaja pun orang boleh curi duit kat dalamnya.

Malam ni aku akan call lagi dan moga ini adalah panggilan terakhir ku untuk mendapatkan nombor akaun tersebut. Aku bukannya apa, takut nanti sampai sana, tiada rumah untuk berteduh. Rumah itu kan keperluan. Sangat penting terutama kepada seorang perantau seperti aku.

Kunci TBB je dulu masuk blog. Hee

Berbalik kepada cerita asal, TBB tiba semalam sekitar jam 2 petang. Ayah pergi ambil sendiri pada paginya memandangkan Encik Razak perlu bergegas ke Kuala Lumpur. Ayah juga ke JPJ sendiri untuk pendaftaran dan roadtax. Alhamdulillah tanpa perlu RM200-RM300 untuk booking nombor plat, aku dapat nombor yang sungguh cantik.

Dapat je nombor tu, ayah terus call aku, nombor comel katanya. (maaf, tak dapat disiarkan atas sebab-sebab tertentu). Apapun kepalanya TBB. Minggu lepas time pergi ke Bank Islam, Encik Razak beritahu nombor semasa ialah TAP. Cepat pulak rasanya bertukar jadi TBB. Agaknya hari-hari ada kereta baru keluar kan.

Tiba di rumah, ayah renjiskan seluruh badan kereta dengan sejug air bersih. Adik aku cakap kenapa tak sambung paip jer. (Kereta dah kotor sebab kawasan rumah becak dengan hujan yang turun). Hehe.. Aku senyum je sebab aku tahu ayah bukan basuh kereta tu tapi baca doa tertentu sambil renjis-renjiskan air tu. Itu menjadi kebiasaan ayah tatkala mendapat kenderaan baru.

Mungkin dengan petua itu, syukur Alhamdulillah kami sentiasa dalam perlindungan Allah dan sehingga hari ini belum lagi berlaku kemalangan teruk. Nanti nak kena tahu ayat dan doa selamat apa yang ayah baca. Huhu…

Kami sekeluarga (kecuali adik ku, Ayu. Beliau sedang menduduki last paper in her SPM) ke kawasan parking JPJ semula dengan menaiki TBB untuk mengambil kereta ayah yang ditinggalkannya di sana. Selepas tu, aku mengambil alih memandunya. Whuhu… =D

Sebenarnya tarikh TBB dikeluarkan pun dalam perancangan ayah dan Alhamdulillah, diizinkan-Nya. Kata ayah, tarikh molek adalah hari-hari ke arah bulan naik. Maksudnya antara 01-14hb tapi paling molek awal bulan. Semalam baru 03 Muharram 1432H. Alhamdulillah… tahun baru dengan kereta baru. =)

Jam 6 petang pula, aku bersama ayah dan Amirol ke Petronas mengisi angin tayar. Kemudian ayah meminta aku memandu ke Telaga Batin. Ayah nak capai target 100km/hari supaya dalam masa 10 hari TBB bergerak sejauh 1000km untuk servis yang pertama sebelum dibawa ke Melaka. Ketika di Petronas tu, jarak yang telah dilalui oleh TBB ialah 36km.

Kami ke Batu Enam seterusnya ke Telaga Batin, mengelililingi airport Kuala Terengganu. Wah, dah lama aku tak ke sana. Banyak perubahan. Pergi pulak time senja, suasana tepi pantai dengan ombak tinggi memukul pantai sangat indah. Bagaikan terasa berada di tempat lain.

Singgah di Kampung Tok Beng, membeli keropok lekor dan lebih kurang jam 7.40 malam baru kami tiba di rumah. TBB hanya bergerak sejauh 73km sahaja semalam. Hari ini, entah ke mana pula nak bawa TBB untuk capai 200km. Mmm..

Apapun aku bersyukur sangat kerana Allah memurahkan rezeki dan memudahkan perjalanan hidupku. Alhamdulillah… Terima kasih ayah atas bantuan mendapatkan TBB. Walaupun pada awalnya, ambe rase ragu-ragu tapi ambe tahu apa hak ayah wat adalah terbaik untuk ambe.

Terima kasih buat Mak, Anis, Ayu dan Aro yang bersama-sama berkongsi kegembiraan ku. Tanpa korang apalah maknanya kegembiraan ini. Terima kasih juga buat Raje yang telah memberi semangat dan sokongan dalam menghadapi hari-hari yang sangat sibuk dan bercelaru dalam masa tiga minggu lepas. Terima kasih buat Ain kerana berkongsi keterujaan mengambil myVi. Aku tunggu myVi oren mu, isnin ini. Huhu...

Vroomm… Vroooommmm….

Saturday, August 28, 2010

MEMORI YANG TAK TERAKAM

Assalamualaikum....

wah!! memang sudh lama blog ini tidak berusik. Sejak aku meninggalkan kampus UTM lagi. Bukan tak pernah on internet langsung sepanjang tempoh tersebut, cuma masa tak mengizinkan. Kali ni, aku nak coretkan juga sesuatu walaupun sedikit.

Sepanjang empat bulan lepas, aku duk sibuk mencari kerja sementara. Tapi lepas satu, satu semua tak dapat. bukan tak dapat, ada yang tak apply pun macam mana nak dapat. Ada kerja aku suka, mak or ayah tak bagi.. ada kerja yang diorang suggest aku tak berkenan. tup-tup jadilah aku penganggur terhormat.

Terhormat sebab aku bukan lah duk rumah goyang kaki. tidur, makan, tidur, makan... tak!! Aku join kelas menjahit di balai raya anjuran KEMAS sejak Mei lalu. Asas menjahit dah ada tapi kalau tak di asah lama-lama berkarat juga. So, dengan kelas ni dapat lah aku meningkatkan kemahiran menjahit. Untuk raya tahun ni, adalah dua tiga pasang baju yang aku jahit sendiri. Huhu...

Jun dan Julai lepas ada dua rombongan kampung ke Kuala Lumpur dan Nilai. Ke Kuala Lumpur adalah rombongan guru-guru agama. Aku ganti tempat orang aje. Kami melawat sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Memang dua tempat ni, aku dah pernah pergi. Beza kali ini, aku pergi untuk temankan mak. Bahagia bila tengok dia gembira.

Tiga hari kami di sana. Kami menginap di Citytel Hotel berhampiran Chow Kit Road. Nak guna lif, masuk bilik kena cucuk kad. Wah, aku pun tak biasa tapi sebab aku di antara dua peserta yang termuda, aku terpanggil lah untuk mencuba. Alhamdulillah, tak pandai sangat English tu, boleh lah kalau nak faham sikit-sikit. (Arahan penggunaan dalam English). dapat lah aku bantu mak cik-mak cik apa yang perlu. huhu...

Rombongan ke-2, kami ke Nilai. Rombongan membeli belah. Aku join lah sebab mak dah taruk nama aku. Yang penting sementara cuti ni lah aku ada masa untuk bersama-sama mak. Kami pergi tak bawa duit banyak macam orang lain pun. Orang lain balik dengan carpet nya, langsir lagi... kami balik bawa diri aje. (niat nak pergi bersiar, bukan shopping). huuu...

Owh ya! Salam Ramadhan buat semua pembaca. Sebut pasal Ramadhan, adalah jugak aktiviti baru aku. Aku try resepi-resepi yang dah lama aku simpan, yang pernah aku belajar, yang dapat dari internet. Puas hati juga bila memasak, masakan tu menjadi. haha..

Tapi... semuanya dah tinggal dalam kenangan. Masa yang berlalu tinggal menjadi memori. Sayang seribu kali sayang... semua aktiviti yang aku jalani sepanjang empat bulan ni tak dapat dirakamkan. Memory card camera aku dah jam.

Sedih dan ralat sangat. lebih-lebih lagi time aku dan mak ke Putrajaya tu. Entah bila lagi aku dapat rakamkan memori indah bersama dia. Mudah-mudahan Allah memberikan kami kesempatan untuk bercuti bersama lagi pada masa-masa akan datang. Insyaallah.

Ok lah setakat ini dulu entri terbaru dari ku. Harap aku dapat muatkan lagi entri-entri baru di lain masa. Insyaallah...

Wednesday, April 21, 2010

DALAM KENANGAN

18 April 2010
Happy Birthday to you... happy birthday to you... Happy birthday to Baya... happy birthday to you... Kali pertama dan terakhir kau tiup lilin dan memotong kek bersempena ulangtahun kelahiran mu yang ke 14. Kegembiraan jelas terbit di wajah mu yang mulus. Hari ini 18 April datang lagi. Tetapi jasad mu telah tiada untuk ku ucapkan Happy Birthday seperti tahun-tahun yang lalu. Telah tiada untuk menyambut hadiah dariku. Owh, kakanda... kau terus hidup dalam kenangan ku.


Masih jelas diingatan ku saat kau khabarkan berita duka. Doktor mengesahkan penyakit mu, lung cancer. Menggigil ku baca sms ringkas dari mu. Kata mu lagi barah itu sudah di tahap 4. Tiada kata yang mampu aku ucapkan. Hanya air mata sebagai pengganti bicara. Lewat petang itu, baru ku balas msg mu. Aku katakan kau kuat untuk hadapi semua ini. Sebab itu kau menjadi pilihan Allah untuk diuji. Berusahalah. Lewat sms kita, aku ucapkan yang aku sayangkan mu. Tulus lahir dari hati ku tika itu.

Seminggu itu kerap ayah menelefon ku. Ayah kebuntuan. Doktor menjangkakan hayat mu hanya tinggal 6 bulan sahaja lagi. Kemoterapi boleh dilakukan tetapi hanya untuk memanjangkan hayat mu kerana pada tahap ini, barah sudah sukar untuk diubati. Ayah tidak dapat membuat keputusan. Dia bertanyakan pendapat ku. Aku sendiri tiada jawapan. Aku tahu nada percakapan ayah bagai menahan sebak di dada. Owh ayah. Aku pun serupa. buntu.

Akhirnya mak bertemu dengan seseorang yang sudi membantu. Adiknya seorang ustaz, mampu mengubati penyakit barah. Bahkan isterinya merupakan bekas pesakitnya sendiri. Perjumpaan dengan Ustaz Bukhari di Tok Bali memberikan harapan baru kepada kami. Berulang kali diubati, dan kali terakhir beliau mengatakan hanya tinggal 30% sahaja lagi barah di paru-paru mu.

Walaupun khabar itu sedikit sebanyak melegakan hatiku tetapi tidak pada emak. Rupanya mak telah dapat merasakan sesuatu. Ketika kau dilahirkan, bidan yang menyambut mu mengatakan umur mu tidak panjang. Ustaz Bukhari juga ada bersuara kecil, sakit ini boleh diubati tapi... Mak juga pernah terjaga dari tidur kerana terdengar suara sekumpulan gagak melintasi bumbung rumah kami. Seekor burung hantu juga pernah datang bertenggek di kandang kambing kami. Dan yang paling mak merasa tidak sedap hati ialah dia pernah bermimpi menyelimut seseorang dengan kain putih. Semua hal ini mak ceritakan setelah semuanya selamat.

dan Sesungguhnya ajal maut adalah ketentuan Allah. Dialah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Dia berkuasa atas setiap sesuatu. dan tepat pada masa yang dijanjikan-Nya, kau akhirnya pergi meninggalkan kami semua pada malam Jumaat, 13 Disember 2007, tidak sampai 3 bulan selepas kau didiagnosis.


Pagi itu, ku sedekahkan surah Yassin buat mu. Tetamu yang bertali arus berkunjung tidak ku hiraukan sehinggalah ku terpandangkan wajah teman baik mu. Waktu itu, aku bagaikan baru tersedar dari mimpi. Sepanjang malam aku tidak dapat tidur kerana hati ku menolak untuk menerima kejutan sebesar ini. Namun, demi terpandangkan wajah sahabatmu itu, aku tahu aku berpijak di bumi nyata. Kau telah pergi meninggalkan kami semua. Derai air mata tidak dapat dibendung lagi.

Ubun-ubun mu, ku cium dan ku tinggalkan kau dengan linangan air mata yang bagaikan sungai mengalir. Makin di tahan semakin parah. Satu hari, aku tidak hiraukan makan dan minum. Makan tetapi semuanya tawar. Minum tapi semuanya tidak terasa. Setiap kali selepas solat ku sedekahkan surah yassin buat mu. Ku doakan agar kau baik-baik sahaja di sana.

Aku tidak tahan berada lama di rumah. Bayangan mu seakan wujud di setiap sudut rumah. sehinggakan aku tidak sanggup menjenguk ke bilik mu. Namun aku berlakon kuat di depan mak, ayah dan adik-adik. Kau tinggalkan aku dengan tugas berat yang tidak pernah aku terfikirkan. Kini aku lah pembawa status anak sulung. Aku lah tunggak kekuatan mak dan ayah dan aku jugalah tempat bergantung adik-adik. Mujur dua minggu selepas kau pergi, aku perlu memulakan semester baru. Dapatlah aku membawa hatiku keluar dari rumah yang banyak mencipta memori kita bersama. Aku ingin merawat kedukaan hati ini.

Lebih dua bulan masa yang aku ambil. Setiap hari aku tidur bersama linangan air mata kerana bayangan mu tidak pernah hapus dari kotak ingatan ku. Ku sedekahkan yassin buat mu setiap kali selepas solat magrib. Aku membina kekuatan diri dengan mengaji dan solat sunnat. Aku bergelak ketawa dengan kawan-kawan. Aku berlagak seperti biasa di hadapan semua orang. Lama kelamaan baru lah aku dapat menerima pemergiaan mu walaupun untuk melupakan mu, adalah mustahil sama sekali.

Aku tahu bukan aku seorang yang merasai kehilanganmu. Mak dan ayah apatah lagi. Adik-adik juga semestinya. Teman-teman akrab mu juga. Kau sememangnya permata yang menyinari kehidupan kami. Pemergianmu telah menyuramkan hidup ini. Sememangnya engkau lah insan istimewa, pinjaman Tuhan kepada kami buat sementara cuma.


Ya Allah, aku tidak pernah jemu berdoa dari hari pertama dia pergi hingga ke saat ini. Hanya satu pintaku, bahagiakanlah dia di sana. Cukuplah deritanya di dunia ini sebagai penghapus dosa. Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan ku, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kak... selamat hari jadi~ I'm really really miss you... so much!
oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang MEMILIKI dan MENGUASAI tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan. Yaasin : 83


Sinaran mata cerita segalanya
duka lara terpendam memori semalam
tinggal segala cinta tiada kembalinya
abadi kasih kita kau bawa bersama
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Tersemat jiwa setia bersamanya
cinta murni berdua beribu tahunnya
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Ohh pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Maafkan daku duhai kasih
izinkan ku pergi

Izinkan Ku Pergi

Monday, April 5, 2010

PERISA VANILLA

Sudah lama ingin ku tulis berkenaan hal ini. Namun baru hari ini aku diberi kekuatan untuk berbuat demikian. Terima kasih kepada seorang teman, yang menyedarkan tentang keterlanjuran ku hingga mungkin telah mengguris perasaan teman-teman yang lain. Bukan niat ku untuk menghindar diri dari kalian, apatah lagi aku dengan sukarelanya ingin turut serta keluar bersiar-siar bersama.

Teman, sedari lah. Aku adalah anak seorang perokok. Sejak kecil aku dibesarkan dengan asap rokok bapa ku. Aku ingat lagi, ketika kecil aku sangat suka menghirup kepulan asap rokok Camel yang dilepaskan dari kerongkong ayah. Baunya harum semerbak. Ketika itu bagi ku adalah adab jika seorang lelaki merokok. Sangat janggal jika mengenali seorang lelaki yang tidak merokok.

Suatu hari, salah seorang insan yang amat aku sayang, yang telah menemani kehidupan ku lebih 20 tahun di dunia ini di jemput Tuhan kembali kepada-Nya. Apa dayaku untuk menghalang pemergiaan dia. Aku redha dia pergi kerana ketika sakitnya aku sendiri pernah mendoakan, andai hidup ini lebih baik buatnya sembuhkanlah dia dan kembali kan kesihatan dia seperti dulu, Ya Allah. Tetapi andai mati itu lebih baik buatnya, aku redha Engkau mengambil dia dari kami.

Lungs cancer atau barah paru-paru, punca kematian. Artikel demi artikel yang ku baca dari internet dan media cetak, mengaitkan penyakit ini dengan rokok. Hairan sekali, bagaimana mungkin ini terjadi. Sedangkan dia bukan perokok. Memang sudah suratan ketentuaan Allah menjadikan semua yang mustahil boleh berlaku. Namun kekesalan itu tidak dapat ku bendung dari membalut hati ini. Tapi siapa aku untuk membenci ayah sendiri, insan yang banyak berkorban demi anak-anaknya. Bahkan ku lihat ayah sangat bersedih dengan pemergian arwah. Jika ini aku kesalkan, ayah apatah lagi. Dia lah satu-satunya perokok dalam rumah kami.

Sejak itu lah aku jadi pembenci. Pembenci kepada rokok. Hingga kan sampai satu tahap aku pernah bertekak hanya kerana rokok. Mujur teman menegur ku. Dan baru-baru ini sekali lagi tindakan ku rupanya mengundang persepsi negatif teman-teman. Aku cuba menerima rakan-rakan yang merokok. Aku cuba elakkan dari bertengkar lagi kerana semua orang sudah sedia maklum bahaya rokok dan pasti salah satu hujah perokok, dah merokok memang susah nak berhenti.

Kali ini, kami minum-minum di sebuah restoran dan seorang kawan menempah shisha perisa vanilla. Kata salah seorang teman baunya memang seperti vanilla tapi agak masam sedikit namun pada deria ku baunya tidak ubah seperti muntah. Aku cuba bertahan. Aku minum air laici ku sambil sedaya upaya cuba kurangkan menghirup udara dalam-dalam. Namun aku tidak dapat bertahan lama dan mengalihkan tempat duduk ku jauh sedikit dari tempat mereka-mereka yang sedang menghisap shisha.

Ketika itu aku langsung tidak memikirkan perasaan mereka. Apa yang penting aku tidak mahu menuturkan apa-apa yang boleh mengundang pertengkaran dan aku juga tidak mahu terus-terusan menghirup asap shisha itu. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudah berjauh hati dengan ku. Justeru kesempatan ini, andai ada teman-teman yang membaca coretan ini, jutaan maaf ku pohon.

Mungkin aku telah mengguris hati kalian namun ku mohon pengertian dari teman-teman. Aku sudah mencuba menerima perokok-perokok di sekeliling ku namun apa daya ku. Kebencian sudah tertanam jauh di sudut hatiku sehingga pernah ku katakan andai aku orang yang paling berkuasa, produk pertama yang akan aku hapuskan di pasaran dunia adalah rokok durjana.

Saturday, December 26, 2009

Final Semester

Sudah menghampiri empat tahun aku di sini, UTM, Skudai. Dalam tempoh yang bukan lah singkat bahkan terlalu lama tanpa ku sedari. Patut lah aku rasa ak sudah kenal benar dengan jalan-jalan dalam kampus UTM ini. Bukan sahaja simpang bahkan biji-biji bonggol pun ak tahu benar di mana letaknya. =D

Final sem juga kadangkala membawa aku menggembara jauh dalam imaginasi. Berangan menjadi seorang guru yang petah berkata-kata antara santapan minda ku saat berkhayalan. Haha.. teringat pula aku pada kelas Nilai-nilai Murni minggu lepas. Pensyarah bertanyakan matlamat ak dan dengan jujurnya aku menjawab "Guru Cemerlang." Beliau mempersoalkan, guru cemerlang atau guru yang cemerlang? Keduanya ada beza. Jawapan ku dua-dua. =D

Aku memang teringin mendapat pangkat Guru Cemerlang dgn DG48. Walau bagaimanapun pada dasarnya keutamaan ku bukan lah pada pangkat. Matlamat utama ak apabila berkerjaya nanti adalah untuk menjadi guru yang cemerlang, yang bukan sahaja dapat mencurah ilmu kepada anak-anak bangsa bahkan juga dapat menyumbang sesuatu kepada agama dan negara. Insyaallah.



Leka ak dalam keseronokan dan keperitan meniti kehidupan sebagai pelajar. Akhirnya ak berdiri di gerbang terakhir pengajian ku di sini, untuk kali ini. Namun kekuatan memburu kejayaan masih belum tersisa. Bahkan makin menggunung apatah lagi memikirkan keputusan semester lepas yang pernah mengganggu lena tidur ku untuk beberapa malam.

Aku mengharapkan kejayaan yang cemerlang bukan setakat cukup makan. Kejayaan yang ku buru itu, bukan untuk ku bangga-banggakan. tapi tulus dariku, ak mahukan kejayaan itu untuk ku balut menjadi hadiah terindah buat susah payah, pengorbanan mak dan ayah. sebagai cahaya kegembiraan, pengubat kedukaan mereka berdua setelah satu demi satu ujian getir yang datang melanda.

Bantu lah aku ya Allah... Permudahkanlah segala urusan ku....