Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Monday, April 18, 2016

Poligami

Duhai lelaki... tak perlu menipu andai mahu berpoligami.
Beritahu isteri, bukan bererti memohon izin tapi..
Sebagai tanda, tiada rahsia antara kalian berdua.

Bila perkahwinan kedua tanpa pengetahuan isteri pertama terbongkar,
Sukar kita jumpa yang bertemu bahagia.
Bukan isteri pertama tak redha,
Tapi kebanyakan terasa diri bukan siapa-siapa lagi di mata suami,
Sudah ada rahsia, sudah ada jarak antara mereka.

Tanpa kepercayaan,
apalagi yang tinggal dalam sebuah perhubungan??
Perempuan, sekali ditipu selamanya tak akan lupa.
Walaupun hati telah mengatakan,
aku maaf kan kamu demi cinta kita.

Wednesday, September 16, 2015

Puisi; Cetusan Hati



17 Februari 2015

hujan emas di negeri orang
hujan batu di negeri sendiri
ke tempat orang mencari rezeki
tempat permulaan hidup juga yang dirindui~



12 Mei 2015

Hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan,
Berusaha, bersabar dan bertawakal lah kpd Allah,
Kelak pasti ganjaran setimpal akan dikurniaNya,
Kerana Dia Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.



24 Jun 2015

Kenapa Tuhan aturkan pertemuan ini
Andai akhirnya nanti perpisahan jua terjadi
Membayangkan perpisahan itu perit
Menghadapi perpisahan itu lagi perit

Pasrahlah hati mengikut aturan Illahi
Kerana Dia lebih tahu yang terbaik buat diri
Setiap pertemuan memutik rasa sayang dan kasih
Setiap perpisahan memekarkan rasa cinta dan rindu

Astaghfirullah...
Ampuni kami ya Allah.



16 Ogos 2015

Segaris senyuman pada wajah
Bukan bermakna dia bahagia
Redup pandangan mata
Tersimpan sejuta rahsia

Biarlah senyum itu berbicara
Menyembunyi tangis di jiwa
Kerana hanya kepada Tuhan
Telah terlafaz segala kata.



p/s: sumber facebook ie. :P



Mi Calong

Assalamualaikum...



Selamat menyambut Hari Malaysia untuk semua warganegara Malaysia.
Lebih 7 bulan blog ini tidak dikemaskini sebab... ie super busy. huhu...

Dalam tempoh tersebut, ie telah berjaya menamatkan semester akhir pengajian. Setelah berhempas pulas, menitik air mata dan peluh semua... akhirnya ia berakhir. Alhamdulillah. In sha Allah, ie akan update perihal pengajian Sarjana ni sekali dengan cerita konvo yang akan berlangsung pada 02 November nanti. 

Selain dengan pengajian, berlaku juga peningkatan kerjaya ie dan ini bermaksud bertambahnya tanggungjawab yang perlu digalas. Ie telah dilantik menjadi Ketua Panitia (KP) menggantikan KP lama yang telah naik pangkat ke Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP). 2-3 bulan selepas itu, ie dilantik pula menjadi pentaksir kawasan PT3.

Semua pelantikan ini bagaikan naik pangkat tapi tiada apa-apa yang istimewa pada sesetengah orang sebab kenaikan ini tidak melibatkan peningkatan gaji. Walau bagaimanapun untuk guru novis (guru baru berkhidmat antara 1 hingga 5 tahun) seperti ie ia bagaikan suatu penghormatan. Alhamdulillah...

Ok berbalik kepada tajuk entri kali ni, ie nak kenalkan satu resepi masakan Terengganu iaitu Mi Calong. Mak selalu masak mi ini masa kami adik beradik kecik-kecik dulu. Tapi dalam kalangan kami ramai yang tak menggemarinya kerana asasnya adalah ikan. Mungkin masa tu bagi kami anak-anak nelayan ni masakan ayam lebih istimewa. 

Masa berlalu, ie sudah lupa bila kali terakhir mak masak mi calong dan bila kali terakhir ie makan mi calong. Mi ini tidak dijual di mana-mana kedai (ie tak pernah jumpa menu ni). Sehingga lah minggu lepas, kami menghantar adik ie mendaftar di UMP, Gambang dan bermalam di rumah ayah su, bapa saudara ie. Hidangan makan malam kami bihun calong. Wah, menggamit nostalgia. Masuk bilik terus ie minta resepi dari mak. Huhu...

Mi calong warisan bonda

Berikut merupakan resepi mee calong oleh my masterchef, bonda tercinta;
Porsi: 2 orang

Bahan-bahan: 
  1. mi lidi (ie ganti dengan spageti sebab tak jumpa dengan jenama yang mak biasa guna).
  2. 3 ekor ikan kembung saiz sederhana dibersihkan dan dibuang tulang (fillet).
  3. rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan pelaga).
  4. 3 ulas bawang putih
  5. 3 ulas bawang merah
  6. 1 camt serbuk lada hitam
  7. 3 batang sawi
  8. 2-3 cawan air
  9. minyak untuk menumis
  10. garam dan gula secukup rasa
Kaedah:
  1. Rebus spageti bersama sedikit garam dan minyak.
  2. Fillet ikan dimasukkan ke dalam pengisar kering. Tambah setengah camt garam (dan seulas bawang putih jika suka). Kisar sehingga lumat.
  3. Bulat-bulatkan isi ikan tadi sebesar guli dan ketepikan. Ini kita namakan sebagai bebola ikan. hehe
  4. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik.
  5. Masukkan bawang putih dan merah yang telah ditumbuk (cincang halus pun ok) dan juga serbuk lada hitam.
  6. Setelah naik bau, masukkan bebola ikan tadi dan biarkan sehingga masak. Hati-hati golek dalam kuali supaya ia tidak berderai.
  7. Masukkan air. Kacau. Masa ni bebola ikan tidak akan berderai sebab dah masak. huhu
  8. Setelah mendidih, perasakan dengan garam dan secubit gula sebagai pengimbang rasa.
  9. Akhir sekali, masukkan sawi yang telah dipotong dan biarkan seketika.
  10. Rasa dan hidang panas-panas bersama spageti.
Sarapan jam 8 pagi tadi.

Oh ya, ada tambahan. Mi ni sedap dimakan bersama cili jeruk atau cili potong yang direndam dalam kicap seketika. Selamat mencuba. ;)



Sunday, February 15, 2015

Red Velvet Cheese Tart

Assalamualaikum. Semalam 14 Februari, ie bersama dua orang rakan telah mengikuti suatu kursus pendek di Kolej Komuniti Rembau. Kami tertarik untuk mengikuti kursus ini memandangkan hidangan yang dicadangkan masih baru dan tidak ramai yang mengetahuinya. Selain daripada menambah pengetahuan dan kemahiran, ie juga suka belajar memasak terutamanya kek dan pastri. Hehe..

hasil yang pelajari


Porsi: 20 - 30 biji tart sederhana

Bahan-bahan:

  • Pastri
  1. 170 gm margerin
  2. 3 camb gula asing
  3. 1 camb cuka makan
  4. 1 camt esen vanila
  5. 1 camt pewarna merah
  6. 1 biji telur
  7. 1 camb serbuk coklat
  8. 260 gm tepung gandum
  • Inti
  1. 250 gm cream cheese
  2. 3 camb gula aising
  3. 1/4 perahan lemon (jika suka)
  4. 1 biji telur
  5. jem strawberry


Kaedah:

  • Pastri
  1. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan dengan cuka, pewarna merah dan esen vanila. 
  2. Gaul marjerin dan gula aising dengan menggunakan hujung jari hingga mesra.
  3. Masukkan campuran telur tadi dan gaul lagi hingga sebati.
  4. Masukkan serbuk coklat dan tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli hingga sebati.
  5. Rehatkan doh selama 20 minit di dalam chiller. Sementara itu, laserkan sedikit margerin pada acuan tart. Panaskan ketuhar.
  6. Bulatkan sedikit doh dan masukkan ke dalam acuan tart. Tekan dari tengah hingga ke tepi untuk menipiskan doh. jangan terlalu nipis atau terlalu tebal. Cucuk-cucukkan bahagian tengah tart dengan menggunakan garfu supaya doh tidak menggelembung ketika di bakar nanti.
  7. Susun acuan tart di dalam dulang dan masukkan ke dalam ketuhar. Bakar selama 20 minit pada suhu 160c dengan menggunakan api atas dan bawah sehingga hampir masak.

proses pembuatan sendiri di rumah (saiz kecil)

  • Inti
  1. Putarkan cheese bersama gula aising di dalam mixer seketika. Masukkan telur dan putar lagi sehingga mesra.
  2. Pindahkan adunan tadi ke dalam pengisar/blender dan kisar sehingga sebati. 
  3. Keluarkan pastri yang telah dibakar tadi (pastri mudah ditanggalkan dari acuan dan bahagian bawahnya telah kering menunjukkan pastri sudah masak) daripada acuannya.
  4. Paipkan sedikit jem ke bahagian dasar pastri. Kemudian paipkan cheese ke atasnya.
  5. Hiaskan dengan serbuk pastri yang telah dihancurkan atau menggunakan pewarna merah.
  6. Susun semula ke dalam dulang tanpa menggunakan acuan tart dan bakar selama 10 minit.
  7. Tart yang telah siap, intinya kering dan tidak melekat pada jari.
tadaaa... rupa kurang tapi rasa sedap. hakhak

p/s: Maaf, gambar tart kecik tu ie buat waktu malam di rumah kampung. Pencahayaan kurang jadi pastri tart kelihatan gelap ya. huhu...



Sunday, February 8, 2015

Asam Pedas Ayam

Resepi kita kali ini ialah... Asam Pedas untuk Ziyad! haha.. Bukan lah.. resepi kali ini asam pedas ayam ala Johor. sekarang tengah hot drama 'Asam Pedas untuk Dia' dalam slot Dahlia tv3. Seronok pulak ie tonton cerita ni, sampai view laman web tonton lah bila terlepas. Ceritanya lebih kurang drama Setitis Kasih Darmia dalam slot Ratu tv9. Promo sikit. huhu..

Acap kali juga ie masak asam pedas ayam sejak tinggal di Melaka. Nak buat asam pedas ikan membazir pula sebab ie lebih suka ikan goreng daripada ikan yang berkuah. Berbalik pada Asam Pedas Ayam ni, pada asalnya ie belajar menggunakan resepi dari blog tiffinbiru. ie masak bergantung kepada bahan yang ada kat dapur mengikut citarasa ie sendiri. Sebelum ni ie pernah pos resepi asam pedas ayam juga tapi ada kelainan sedikit dari segi bahannya. Boleh try mana yang anda suka. hehe..

Jom try!

Bahan-bahan:

  1. 1/4 ekor ayam dipotong kecil dan dibersihkan
  2. 1/2 genggam daun kesom dicuci dan ditoskan
  3. 5 camb cili kisar (ikut selera pedas masing-masing)
  4. 1/2 camt asam jawa tanpa biji
  5. 1/4 camt gula
  6. 1 1/2 camt garam
  7. 2 biji tomato dipotong 4
  8. sedikit minyak untuk menumis
  9. secawan air (atau secukupnya)
  10. bahan-bahan kisar halus:
    • 3 biji bawang besar (sederhana)
    • 2 ulas bawang putih
    • 1/2 inci halia
    • 1/4 inci lengkuas
    • 1/4 inci kunyit hidup
    • 1/4 inci belacan
    • 1/2 biji buah keras
    • 1/4 camt lada hitam
    • 1camt ketumbar biji
    • 1/4 camt jintan kasar
    • 1/4 camt jintan halus
masukkan tomato setelah api dipadam supaya ia tidak hancur

Kaedah:
  1. Bersihkan dan kisar halus semua bahan nombor 10.
  2. Panaskan minyak dan tumis semua bahan hingga harum. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  3. Masukkan ayam dan daun kesom. Gaul rata dan masak sehingga ayam kecut.
  4. Tuangkan air (mengikut kepekatan yang dikehendaki). Kacau dan masak sehingga ayam empuk.
  5. Masukkan jus asam jawa dan perasakan dengan garam dan gula. Biarkan menggelegak dan rasa.
  6. Padamkan api dan masukkan potongan tomato. Biarkan seketika supaya tomato lembut. Sedia dihidang.
Hah, jangan dilihat pada banyaknya bahan diperlukan. Sebenarnya semua bahan tersebut bahan lazim yang biasa ada di dapur. Walaupun bahan yang diperlukan banyak namun cara memasak asam pedas ini cukup mudah sebab semua bahan perlu dikisar sekaligus dan terus ditumis sebelum dicampur dengan bahan utama dan perisa. Rugi tak cuba!

Selamat mencuba~

Wednesday, December 17, 2014

Mentari di Wajahmu

Semalam ku lihat wajah mu ceria
Ibarat mentari di waktu pagi
Semalam ku dengar suaramu bermelodi indah
Bak desiran bayu di pantai
Semalam ku lihat tingkah mu lincah
Seperti bintang tak henti kerdipnya

Tapi mengapa hari ini
Wajah mu sugul berduka
Umpama mentari di musim tengkujuh
Ke mana menghilang pergi
Melodi indah suaramu
Tingkah berubah lemah dan longlai

Adakah kerana ujian yang menimpa
Kau hampa dan kecewa
Tuhan tidak akan menduga
Andai hambaNya tidak berupaya
Yakinlah pada Nya
Kau mampu hadapi segala
Ujian Nya sebagai penghapus dosa
Membawa diri dekat padaNya
Tuhan pemilik seluruh dunia

Sunday, July 20, 2014

JALAN PERJUANGAN



jalan ini yang aku pilih

jalan ini yang ditakdirkan

jalan ini yang kelihatan sukar

jalan ini yang memerlukan perjuangan

jalan ini yang mengajar erti pengorbanan

jalan ini akan tiba ke suatu destinasi

di mana perit jerih akan terbalas

dengan senyuman indah sang pelangi

hadiah buat seorang pejuang setia.

16 MEI 2014

Guru,
Jasamu semerbak kasturi
Harum mewangi di sanubari
Moga setiap langkah mu dirahmati
Doaku agar bahagia milik mu abadi.

Selamat Hari Guru 16 Mei 2014 teristimewa buat semua guru dan pensyarah yang pernah mendidik diri ini.
Tidak lupa juga buat guru pertama ku, mak & ayah serta seluruh sahabat handai yang bergelar pendidik mahupun yang berjiwa pendidik.

Terima kasih, cikgu!!!

Tuesday, May 6, 2014

Semarak Kasih Guru

Guru,
Tak pernah jemu, bersemangat jitu
Tidak kecundang di medan ilmu
Dalam memanusiakan manusia dungu

Guru,
Bersemarak jiwanya penuh kasih
Sayang yang tidak memilih
Sabar mendidik dengan gigih
Walau jasad terasa letih

Guru,
Andai diri mu tidak dipeduli, sabarlah
Andai kesabaran mu terus diuji, bertahanlah
kerana jika bukan di dunia ini
Akhirat pasti menanti
Ganjaran yang dijanji Illahi.