Assalamualaikum...

Jutaan terima kasih kerana sudi menjenguk. Semua artikel di dalam blog ini sejujurnya idea Ie sendiri kecuali pada beberapa bahagian yang telah dinyatakan sumbernya. Sebarang ulasan? Nyatakan sahaja, Ie amat menghargainya.
Namun, mohon tiada salinan semula artikel-artikel di sini melainkan dengan kredit sumber asal. Terima kasih. (^_^)

Thursday, November 25, 2010

IF TOMORROW NEVER COMES

Sometimes late at night
I lie awake and watch her sleeping
She's lost in peaceful dreams
So I turn out the lights
And lay their in the dark
And the thought crossed my mind
If I never wake up in the morning
Would she ever doubt the way I feel
About her in my heart


*
If tomorrow never comes
Will she know how much I loved her
Did I try in every way
To show her everyday
That she's my only one
If my time on earth were through
And she must have the world without me
Is the love I gave her in the past
Gonna be enough to last
If tomorrow never comes

Cause I've lost love ones in my life
Who never knew how much I loved them
Now I live with the regret
That my true feelings for the never
were revealed
So I made a promise to myself
To say each day how much she means to me
And avoid the circumstance
Where there's no second chance
To tell her how I feel
*

So tell that someone that you love
Just want you're thinking of
If tomorrow never comes.


ie cinta Allah.. Rasulullah...
ie sayang mak, ie sayang ayah...
ie sayang arwah kak, sayang anis, sayang ayu, sayang aro...
ie sayang pak su, mak nik, mak su, ayah su, mak jarah...
ie sayang ibu-bapa2 saudara dan sepupu2...
ie sayang rakan-rakan seperjuangan dari zaman sekolah hingga universiti...
ie sayang semua orang yang menyayangi dan menghargai ie...

andai tidak pernah terucap di bibir ini perkataan sayang dan cinta pada kalian, ketahuilah ie sebenarnya sangat sayangkan kamu semua...

Cause I've lost love ones in my life
Who never knew how much I loved them

hanya Allah yang tahu segala isi hati ini~

Friday, November 19, 2010

My Favourite Novel

Sudah lama ie mahu menulis entri tentang buku-buku yang telah ie baca. Namun, sehingga saat ini, masih belum terhasil apa-apa entri berkenaan buku di blog ie. Baiklah, untuk julung-julung kalinya ie ingin mengulas sebuah novel yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu dan mungkin sehingga kini masih ada lagi yang mencari-cari novel ini untuk koleksi sendiri.


Ie gemar membaca novel tetapi untuk membeli sebuah novel memang sesuatu yang sukar bagi ie. Ie memang agak kedekut dalam berbelanja. Mungkin pengalaman hidup dari keluarga sederhana mengajar ie untuk berbelanja sekadar perlu.


Sehinggalah suatu ketika ketika membelek-belek buku di Pustaka Seri Intan (PSI), sebuah kedai buku di Bandar Kuala Terengganu, ie tertarik dengan sebuah novel terbitan Al-Hidayah Publishers. Novel berbalut dengan plastic lutsinar itu disertakan dengan ulasan dari sasterawan Negara A. Samad Said di sebelah belakang novel yang lazimnya menjadi tempat untuk synopsis setiap novel bertakhta.


Tajuk novel tersebut sahaja sudah mempersonakan hati ie tapi harganya mak ai. Mungkin sebab novel import dah tu jadi pemenang Pena Award Novel Terpuji Nasional 2005 dan pemenang Anugerah Penghargaan The Most Favourite Book 2005 pulak. Ie lupa harga time tu dan sifat sayangkan duit tidak berjaya memperdayakan ie daripada terus membeli novel tersebut. Berkali-kali ie berkira-kira nak beli ke tak. Kira duit kemudian tengok lagi novel tu. Lastly tak beli pun. Huhu.


Beberapa bulan kemudian, kawan-kawan sekuliah ie sering bercerita tentang sebuah filem dari Indonesia yang sangat best. Dari cerita-cerita mereka, Ie tertarik untuk menontonnya. Ie dapatkannya dari pendrive seorang kawan dan menonton cerita tersebut.


Orang cakap best tapi ie tonton dengan perasaan biasa-biasa sahaja. (ie memang tak ada perasaan pun tengok cerita. Kalau orang lain menjerit, menangis, melompat, ketawa, macam-macam ragam, ie cool aje. Jarang sangat bagi reaksi pada setiap rancangan yang ditonton. huhu).


Cuma perjalanan cerita ini yang lain dari yang lain. tu yang buat ie terus melekat depan laptop. Tapi ending dia tak best sangat, cerita madu dua berebut suami gitu. Huu… Dalam pada duduk syok menonton tu, tanpa disuruh kawan ie cerita, filem ini diadaptasi dari sebuah novel.


Tapi filem dengan cerita dalam novel tu lain sikit. Cerita dalam novel tu sebenarnya macam ni macam ni… Ie tengok-tengok balik tajuk filem tu, ting! Tetiba teringat pada novel yang ie berkenan sangat nak beli tu. Masa tu, rasa rugi sangat sebab tak beli.


Balik je cuti semester time tu, terus Ie pergi ke PSI lagi. Ie cari, tak ada. Ie tanya pekerja PSI, katanya dah habis. Waaa…. Menyesal.. menyesal… ie call adik yang study kat Melaka. Kalau-kalau dia ada singgah mana-mana kedai buku kat sana, tolong belikan. Memang betul-betul kemaruk lah nak baca cerita sebenar dalam novel tu. Huhu…


Lastly 05 November 2008, akhirnya novel tersebut berjaya Ie miliki. Kulitnya dah tukar warna kepada yang lebih terang tapi muka depan still sama, gambar sepasang mata biru seorang wanita. Dan ia adalah Novel Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy.



Memang agak berbeza cerita novel ini dengan filemnya. Ie tak berapa ingat sangat cerita filem sebab dah lama tonton. Dalam novel ciri-ciri Islam tu lebih menyerlah dan lebih dirasai. Hero cerita ini adalah Fahri bin Abdullah Shiddiq, seorang mahasiswa Universiti al-Azhar dari Indonesia. Dia berjiwa pemimpin, mengamalkan Islam dalam kehidupan harian dan belajar tentang al-Quran.


Dia pernah jatuh sakit akibat kegigihannya menuntut ilmu tanpa menghirau keadaan cuaca yang panas terik di Mesir. Fahri diminati oleh ramai wanita. Pertama Maria, anak jiran Fahri yang beragama Kristian telah jatuh hati kerana sifat dan perwatakannya. Namun Fahri tidak menyedarinya dan menganggap Maria tidak lebih dari seorang rakan.


Kedua Noura, seorang gadis Mesir yang hidup terumbang-ambing dalam keluarga yang membencinya. Fahri menyelamatkan Noura dari kehidupan gelap dengan menemukannya dengan keluarga kandung. Noura pernah mengirimkan surat menyatakan isi hatinya kepada Fahri.


Ketiga Nurul Azkiya, mahasiswi senegara dengan Fahri. Nurul telah meminta ibu bapa saudaranya menyampaikan isi hatinya kepada Fahri tetapi telah terlewat kerana pada hari yang sama Fahri akan bernikah. Fahri juga agak terkilan kerana dia juga sebenarnya pernah menyimpan perasaan terhadap Nurul.


Yang ke-4 adalah Aisya, gadis campuran Turki dan Jerman. Dia berkenalan dengan Fahri ketika kejadian di dalam metro. Kemudian melamar Fahri melalui beberapa orang tengah. Aisya adalah seorang gadis yang berpurdah. Fahri jatuh cinta padanya tatkala pertama kali melihat wajah Aisya ketika majlis ta’aruf. Setelah berkahwin, Fahri baru mengetahui latar belakang Aisya yang merupakan gadis hartawan.


Klimaks cerita novel ini pula ialah apabila kebahagiaan Fahri yang baru mendirikan rumah tangga diregut oleh fitnah. Noura menfitnah Fahri memperkosanya. Kehidupan di penjara Mesir sangat sukar namun dia ditemani oleh rakan-rakan sepenjara yang baik dan kuat kepercayaan mereka kepada agama.


Pertolongan Allah datang apabila suatu hari ibu dan adik Maria mengunjungi Fahri di penjara. Maria ketika itu sedang koma akibat sakit kemurungan yang dialaminya. Dia mula sakit apabila tidak dapat menerima berita pernikahan Fahri menyebabkannya tidak bersemangat untuk hidup.


Kali ke-2 kedatangan ibu Maria bersama bapanya memohon agar Fahri membantu untuk menyelamatkan Maria. Hanya Fahri yang dapat mengembalikan semangat hidupnya yang hilang. Akhirnya dengan permintaan ikhlas dari Aisha, Fahri mengahwini Maria yang sedang koma di hospital.


Dalam kegentingan ini, penulis bijak menjelaskan kenapa Fahri harus mengahwini Maria dan bagaimana seorang muslim boleh mengahwini seorang bukan muslimah. Maria kalaupun bukan seorang muslimah secara lisan dan perbuatan tetapi fitrahnya dia seorang muslimah. Dia pernah memperdengarkan surah Maryam yang dihafaznya kepada Fahri.


Maria merupakan saksi utama kes perbicaraan Fahri. Dengan kesaksian Maria, Fahri bebas dari dakwaan tersebut dan Noura juga telah mengakui kesalahannya menfitnah Fahri. Maria kemudian jatuh koma semula. Setelah bebas dari penjara, Fahri turut dirawat di hospital yang sama untuk merawat kecederaan yang dialami akibat penyeksaan di penjara. Aisya menjaga kedua-dua suami dan madunya di hospital.


Suatu malam, Aisya mengejutkan Fahri dan membawanya ke bilik rawatan Maria. Maria bermimpi dengan keadaan yang aneh. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, bibir Maria bergerak-gerak membaca surah Maryam diikuti surah Thaha.


Kemudian dia berzikir menyebut-nyebut nama Allah sebelum terjaga. Setelah menceritakan apa yang dimimpinya, Aisya dan Fahri membantu Maria berwudhuk. Kemudian dibaringkan semula ke katil. Maria mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

The end…


Hah, tahu tak dimana sebenarnya ayat-ayat cinta yang dimaksudkan oleh penulis? Adakah surat cinta dari Noura dan Nurul Azkiya? atau lafaz cinta dari Maria dan Aisya? Sebenarnya ayat-ayat cinta yang dimaksudkan adalah ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir kepada Allah.


Maria sakit kerana cintanya pada manusia yang bernama Fahri sehingga ketika koma dia selalu menyebut-nyebut nama Fahri. Namun bila hidayah datang, dia lebih merasai kecintaan kepada Allah sehingga di akhir hayatnya nama Allah yang disebut-sebut.

Allah. Allah. Allah

Aku ingin Allah.

Allah. Allah. Allah.


Allah. Allah. Allah

Aku rindu Allah

Allah. Allah. Allah.


Allah. Allah. Allah

Aku cinta Allah

Allah. Allah. Allah.


Bacalah novel ayat-ayat Cinta. Saya pernah merasa rugi menonton filem Ayat-ayat Cinta kerana pengakhirannya yang tidak berapa best. Tapi membaca novel Ayat-ayat cinta telah mengubat rasa rugi itu. Cuma dalam filem itu saya memang akuilah ketampanan hero sebagai Fahri dan heroin sebagai Aisya. Memang cun melecun lah. hehe...


Jika anda hendak mengetahui apa sebenarnya cinta, jangan lepaskan peluang untuk membaca novel karya Habiburrahman El-Shirazy ini.


5 stars for it!

Thursday, November 18, 2010

MENEROBOS MUKJIZAT TERAKHIR

03 Ogos 2010 yang lalu, ie telah menghadiri satu temuduga untuk pengambilan Guru Sandaran Siswazah Terlatih atau GSST di Kelantan. Sebelum ditemuduga oleh dua orang panel, kami terlebih dahulu mengikuti ujian IMSAK.

Untuk temuduga, hanya dua soalan sahaja yang dikemukakan kepada ie. Satu soalan lazim iaitu perkenalkan diri anda dan ceritakan apa-apa sahaja berkenaan diri anda. Ie jawab seringkas mungkin tapi panel suruh sambung lagi. Mungkin diorang pun dah kering idea nak tanya plus perut dan lapar kot. Maklumlah, ie masuk sebagai orang ke-5 dan masa tu dan pukul 10 lebih. hehe...


Hah, soalan ke-2 dari panel ke-2, soalan yang tak dijangka. Soalannya, apa yang anda faham tentang Al-Quran. Ie takut tersilap dengar, dan minta beliau ulang. hoho... Soalan mudah tapi apa jawapannya?


Ie prepared dengan maklumat-maklumat berkenaan NKRA, Perlembagaan dan Rukun Negara, nama-nama Menteri, lagu Guru Malaysia dan lain-lain lagi yang berkenaan dengan negara dan guru. Sekali tanya berkaitan agama. huuu


So, apa ie jawab? Ie pun cakap lah, al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi kita, Muhammad S.A.W. Dalam al-Quran terdapat surah yassin yang merupakan jantung al-Quran manakala surah al-Fatihah adalah penghulu al-Quran. pastu.... (wat gaya dah habis cakap. huhu)


Sebab ie, dah terdiam, panel pun tambah lah...

panel: awak baca tak tafsir al-Quran

ie: baca tapi belum khatam lagi (jujur tau, tak tipu langsung. huhu)

panel: remaja hari ni ramai yang terlibat dalam gejala sosial. Ada yang punya asas agama pun terjebak sama. sebab orang sekarang baca al-Quran tapi tak tahu makna. betul x?

ie: ye, saya setuju. bla.. bla.. bla... (ie pun karang lah ayat sesedap rasa. apa yang da dalam otak, ie sebut je. asalkan boleh bercakap depan panel daripada terus diam. (dalam hati: boleh kait dengan perkara luar rupanya. lau tahu, dari tadi awal lagi ie dah sebut.huhu..)


malu sangat kat panel tadi sebab jawab sikit. bila bagi klu, baru dapat panjangkan. huuu


Temuduga itu memang beri seribu makna pada ie. Ie muhasabahkan diri. Memang selama ini ie rasa ie kenal dan tahu al-Quran. tapi jika orang bertanyakan ie, apakah al-Quran? Apa isi-isi yang boleh ie hujahkan? dan bayangkan bagaimana yang bertanya adalah non-Muslim? Ini boleh memalukan sebab nama Muslim tapi tak kenal al-Quran.


Selepas dari kejadian tu, ie mula alert dengan setiap makna-makna dalam terjemahan al-Quran dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman yang ie baca. (ie lambat sudahkan bacaan terjemahan sebab ie suka baca ayat al-Quran dahulu dan pastu lihat maknanya satu demi satu. Tu lambat khatam.)


Sebenarnya dalam kebanyakan surah ada di sebut tentang al-Quran. Antaranya seperti berikut:


"Maha Berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan kepada hamba-Nya (Muhammad) untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam." (Ayat 1, surah al-Furqan)


"...dan Kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang Islam." (Sebahagian ayat 89, surah an-Nahl)


Berikut adalah artikel yang ie perolehi dari akhbar Sinar Harian bertarikh 27 Ogos 2010. Ie taipkan semula untuk perkongsian dengan anda semua. Anda juga boleh mencari rencana ini di www.sinarharian.com.my/rencana. Tajuk entry kali ini pun, ie ambil dari rencana tersebut.


Ubat menyejukkan hati ialah al-Quran. Ubat mendamaikan hati juga al-Quran. Alangkah indahnya jika ayat al-Quran sentiasa bermain di bibir dan menjadi amalan hidup serta budaya ummat Islam. Jangan lepaskan MUKJIZAT TERAGUNG dari genggaman hati kita. Didiklah telinga dan mulut kita untuk sering mendengar dan membaca al-Quran.


Jangan menjadi manusia yang takut dan segan kepada al-Quran. Al-Quran adalah MILIK KITA. Bacalah ia di mana sahaja kita berada, di masjid, di rumah mahupun di pejabat. Sesungguhnya, Allah memberikan ganjaran pahala kepada mereka yang memartabatkan isi kandungan kitab suci serta mereka yang mengamalkannya.


Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan satu kebajikan diganda sepuluh. Aku tidak bermaksud itu satu huruf akan tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf. (Riwayat al-Tirmizi).


PENGERTIAN AL-QURAN

AL-Quran ialah kalamullah yang mengandungi mukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan Jibrail as, ditulis dalam mushaf, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan menjadi ibadah dengan membacanya. Susunan al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf Hijaiyah yang mana keseluruhan al-Quran mengandungi 323 671 huruf, 77 437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah, 30 juzu’, 60 hizib dan 240 maqra.


KELEBIHAN AL-QURAN

MUKJIZAT teragung dan mukjizat Nabi yang kekal hingga hari kiamat. Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud; Dan kelebihan kalamullah ke atas seluruh kalam (perkataan) seperti kelebihan Allah ke atas sekalian kejadian-Nya.


PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN

AL-QURAN diturunkan melalui beberapa peringkat, iaitu;

  1. Al-Quran turun ke Loh Mahfuz. Cara turun dan wujudnya al-Quran di Loh Mahfuz pada waktu yang tidak diketahui kecuali oleh Allah.
  2. Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di Langit Dunia pada Lailatul-Qadr dalam satu jumlah.
  3. Al-Quran diturunkan dengan perantaraan Jibrail as kepada NAbi S.A.W. secara beransur-ansur.


NAMA-NAMA KITAB SUCI DAN JUMLAHNYA

OLEH sebab ramai Rasul utusan Allah, banyak catatan dan pesan yang disampaikan. Ada yang disebut sebagai lembaran-lembaran (suhuf) dan ada pula dalam bentuk buku (kitab). Suhuf diturunkan kepada Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Musa a.s, manakala kitab pula kepada nabi-nabi berikut;

  • Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa a.s
  • Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud a.s
  • Kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa a.s
  • Kitab suci al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.


KENAPA DINAMAKAN KITAB SUCI

  • Bebas dari campurtangan manusia.
  • Isi dan ajarannya sesuai dengan fitrah manusia.
  • Isinya tidak bertentangan di antara satu sama lain.


KEISTIMEWAAN AL-QURAN

PERBEZAAN lebih khusus antara al-Quran dengan ucapan-ucapan yang lain (hadis Qudsi dan hadis Nabawi) ialah al-Quran merupakan firman Allah S.W.T., yang diturunkan dengan lafaz dan makna yang jelas, dengan perantaraan Malaikat Jibrail, kemudian tersebar dalam bentuk-bentuk tetap dan tidak dapat ditiru dan mendapat jaminan Allah.


KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

ORANG yang selalu membaca al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat, di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibu bapanya.


HADIS RASULULLAH S.A.W.

Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya melebihi cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula dirinya sendiri mengamalkan.



Alhamdulillah, ie telah pun berjaya dalam temuduga tersebut. Minggu hadapan ie perlu mendaftarkan diri di Jabatan Pelajaran Negeri Melaka.

Thursday, November 4, 2010

PERJALANAN USIA

Hari demi hari berganti
Usia semakin meninggi

Sudah berdekad menghuni bumi
Bermusafir dalam daerah duniawi

Perjalanan usia
Semakin mendewasakan kita

Berbagai ranjau berduri diredahi
Bermacam ragam manusia ditemui
Ilmu dan pengalaman terus digali

Isikan usia sebaiknya
Dengan amalan murni
Dengan bekalan abadi

Moga perhentian di akhirat sana
Bermukim di Syurga Firdausi
Meneguk bahagia yang hakiki



Beberapa rangkap sajak ini dipetik daripada buku latihan Tahun 5, Aktiviti Cemerlang Terkini KBSR. Dalam latihan tersebut, pelajar diminta melengkapkan sajak tersebut dengan perkataan sendiri berdasarkan tajuk yang diberi. Ayat dengan font italic itu merupakan baris-baris sajak yang telah diberikan manakala yang font normal itu adalah nukilan ie sendiri. Alhamdulillah, dalam mencari idea untuk menulis puisi baru, ie terpandang latihan ini. Terus ie lengkapkan.

Anda yang belum pernah menulis sajak, patut mencubanya. Sajak adalah sejenis puisi moden yang sangat mudah untuk ditulis. Yang penting anda tahu apa yang hendak anda sampaikan (tema). Melalui sajak, kita dapat meluahkan perasaan dengan penuh simbolik. Sajak juga bersifat agak bebas berbanding syair dan pantun yang lebih terikat .

Tuliskan aje isi hati mu mengikut susunan perkataan yang sehampir mungkin iramanya, kena gaya pasti sajak lah tu jawapannya. Silap-silap boleh digunakan sebagai lirik lagu, tinggal untuk gubahan melodi aje. Jadi apa tunggu lagi? Jom, cuba tulis sajak!

Tuesday, October 26, 2010

Contest Mortar Board "The Beuty In Ugly": Ucapan Paling Unik


Sebagai seorang yang suka bermadah berpuisi (biarpun ada yang merapu.. huhu), Ie nak sertai juga contest anjuran Mr. Edy (click pada nama tadi, link terus ke blog dia) bagi kategori ke dua. Untuk tambah feeling pembaca, Ie taipkan ucapan kat atas gambar berikut:

Buat yang tak dapat membaca tulisan ucapan ini dengan jelas, Ie sertakan lagi sekali kat bawah.
Sahabat-sahabatku,
Akhirnya perjuangan ini,
sampai ke titik koma nya,
Segulung ijazah kini milik kita,
Lontaran mortar board menjadi saksi,
Kejayaan yang dicipta bersama,
Sejambak haruman tahniah,
Hadiahku buat semua.

Sebenarnya panjang lagi ucapan ie buat kawan-kawan tapi Mr. Edy kata nak 30 patah perkataan je jadi terpaksa dipendekkan. Cukup-cukup 30 patah je. Huu…
Untuk kategori yang ni, Ie ingin mengundang Adawiah Ibrahim dan Naniey TJ untuk turut serta dalam contest yang best sangat ni. Tak susah pun, korang just buat ucapan teristimewa buat diri ku ini pun tak ape. hehe~ uit, jangan tangguh-tangguh. tarikh tutup 31.10.2010 daa.. click sini skrg jugak!!!: Contest Mortar Board

Ok lah buat semua yang menyertai contest ni, selamat Berjaya. Buat sahabat-sahabat blogger yang belum sertai, jom lerr join sama. Sekadar suka-suka dari buang masa. Hehe..
Time to say good bye.. adios!

p/s: isi penting kandungan kedua-dua entri contest Mortar Board ini sebenarnya ditulis sejak 18.10.2010 lalu. Alhamdulillah akhirnya berjaya di post jugak. Mr. Edy, pasni wat contest yang hadiah nya berupa broadband lah sebijik. kihkihkih....

Sunday, October 24, 2010

" CONTEST MORTAR BOARD : The Beauty In Ugly "


Assalamualaikum… wah, lama bayu tidak bertiup di mukim hati ini. Sepi blog ini ditinggalkan sendiri. Bukan sahaja tiada entri baru, hiasan blog pun dah tak berapa nak indah. Kekangan masa dan wang menjadi factor utama blog ini tidak seaktif dulu. Untuk entri yang ni, ie siap kan di rumah sebelum di upload di cyber café PB yang menjadi tempat baru ie berteduh mencari line internet. Sewanya RM2 sejam.

Ok lah. Terima kasih buat cik seri di blog selendangkapas kerana memperkenalkan ie dengan contest mortar board. Ie tak pernah join mana-mana contest online sebelum ini tapi untuk contest ni ie tertarik untuk join sebab masih dalam mood konvokesyen. Terbayang-bayang lagi hari bahagia tu. Huhu. Terima kasih buat encik Edy atas penganjurannya. Menang atau kalah bukan soal dalam contest ni tapi perkongsiaan kegembiraan dan kebahagiaan itu yang penting. So berikut gambar pilihan ie.

Gambar ini dirakam menggunakan kamera rakan ie. Ie muat turun gambar ni dari facebook beliau. Very nice and happening picture. Gambar orang kemaruk konvo pun ada. Haha... Apa pun terima kasih buat semua model. Kalau yang mengenali ie, korang pasti dapat cam model yang mana satu diri ini. hakhak... Buat yang tak mengenali pula, pandai-pandailah korang teka ye. =D

Pencahayaan gambar ni sebenarnya kurang memuaskan. So, ie edit dengan memasukkan frame yang warna striking tu je bagi timbul mood ceria. hope penganjur benarkan ye. Huhu…
Dijemput musafir, fiq dan semua blogger yang mengikuti blog ie untuk menyertai contest ni. jika anda 24 jam mengadap laptop+internet, tiada masalah untuk anda berbuat demikian untuk tempoh masa yang hanya tinggal 5 hari sahaja lagi. Sila ke blog Mr. Edy untuk maklumat lanjut.

Friday, September 10, 2010

SALAM I'DILFITRI 1431H



Assalamualaikum. Hai semua... Sehari sebelum dan pada hari raya pertama memang sangat sibuk. Sampaikan Ie langsung tidak berpeluang menjamah internet. Alhamdulillah, malam ini agak berkelapangan. Tetamu terakhir pun dah pulang ketika azan Isyak sebentar tadi. Apa pun sementara mood raya masih ada, Ie ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya 1431H kepada semua pembaca dan pengunjung blog Selembut Bayu di Hatiku. Ie mohon jutaan kemaafan atas setiap kesalahan Ie dalam melontarkan pendapat, mencurahkan isi hati, mengukir setiap puisi dan sebagainya. Apa pun Ie ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian anda untuk terus berkunjung ke blog yang agak sepi ini. huuu...

Wednesday, September 1, 2010

KAMI BUNUH MU MALAYAN UNION

Deru angin yang datang membisikkan
Kesombongan satu bangsa yang tak mengenal adat sopan
Lalu menegakkan hukum
Beraja di mata, bersultan di hati
Di bumi ini, bumi seluruh anak insan
Siangnya di bakar matahari derita
Malamnya diulit mimpi duka
Sekian lama hidup di penjara belantara

Dengan angkuhnya utusan dari seberang
Menapak dari dada ke dada
Seperti mimipi dengan igau yang menakutkan
Dan lihatlah satu demi satu raja kami
Tanpa darjat tanpa daulat
Mac Michael meniupkan angin sombong
Dari wilayah tak bersopan
Maruah kami dicabul, dinoda

Awan mendung gelap pekat
Menutup bumi tercinta
Halilintar berdentum membelah bumi
Hujan panas turun renyai-renyai
Membasahi bumi anak-anak derita
Ayam jantan berhenti berkokok
Embun pagi menitik terhenti
Murai pun tidak berkicau lagi

Kami kehilangan segala
Kami hilang pedoman
Kami hilang mutiara bertatah
Ratap tangis anak-anak peribumi
Sedu sedan tiada terkira lagi

Puisi ini Ie perolehi ketika mengikuti Program Latihan Khidmat Negara, PLKN siri 2/2005 dari guru modul kenegaraan untuk persembahan pentas platun 8. Sumber asal tidak diketahui. Ie berbesar hati berkongsi puisi ini untuk penghayatan semua warga negara Malaysia yang tercinta.

Apa pun sempena menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-53 semalam, Ie doakan negara kita terus aman damai. Mudah-mudahan sejarah hitam negara dalam penjajahan tidak akan berulang lagi. Insyaallah. Mari lah kita terus bersatu-padu mengekal dan mengukuhkan kemerdekaan negara kita. Merdeka!! Merdeka!! Merdeka!!!

Saturday, August 28, 2010

MEMORI YANG TAK TERAKAM

Assalamualaikum....

wah!! memang sudh lama blog ini tidak berusik. Sejak aku meninggalkan kampus UTM lagi. Bukan tak pernah on internet langsung sepanjang tempoh tersebut, cuma masa tak mengizinkan. Kali ni, aku nak coretkan juga sesuatu walaupun sedikit.

Sepanjang empat bulan lepas, aku duk sibuk mencari kerja sementara. Tapi lepas satu, satu semua tak dapat. bukan tak dapat, ada yang tak apply pun macam mana nak dapat. Ada kerja aku suka, mak or ayah tak bagi.. ada kerja yang diorang suggest aku tak berkenan. tup-tup jadilah aku penganggur terhormat.

Terhormat sebab aku bukan lah duk rumah goyang kaki. tidur, makan, tidur, makan... tak!! Aku join kelas menjahit di balai raya anjuran KEMAS sejak Mei lalu. Asas menjahit dah ada tapi kalau tak di asah lama-lama berkarat juga. So, dengan kelas ni dapat lah aku meningkatkan kemahiran menjahit. Untuk raya tahun ni, adalah dua tiga pasang baju yang aku jahit sendiri. Huhu...

Jun dan Julai lepas ada dua rombongan kampung ke Kuala Lumpur dan Nilai. Ke Kuala Lumpur adalah rombongan guru-guru agama. Aku ganti tempat orang aje. Kami melawat sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Memang dua tempat ni, aku dah pernah pergi. Beza kali ini, aku pergi untuk temankan mak. Bahagia bila tengok dia gembira.

Tiga hari kami di sana. Kami menginap di Citytel Hotel berhampiran Chow Kit Road. Nak guna lif, masuk bilik kena cucuk kad. Wah, aku pun tak biasa tapi sebab aku di antara dua peserta yang termuda, aku terpanggil lah untuk mencuba. Alhamdulillah, tak pandai sangat English tu, boleh lah kalau nak faham sikit-sikit. (Arahan penggunaan dalam English). dapat lah aku bantu mak cik-mak cik apa yang perlu. huhu...

Rombongan ke-2, kami ke Nilai. Rombongan membeli belah. Aku join lah sebab mak dah taruk nama aku. Yang penting sementara cuti ni lah aku ada masa untuk bersama-sama mak. Kami pergi tak bawa duit banyak macam orang lain pun. Orang lain balik dengan carpet nya, langsir lagi... kami balik bawa diri aje. (niat nak pergi bersiar, bukan shopping). huuu...

Owh ya! Salam Ramadhan buat semua pembaca. Sebut pasal Ramadhan, adalah jugak aktiviti baru aku. Aku try resepi-resepi yang dah lama aku simpan, yang pernah aku belajar, yang dapat dari internet. Puas hati juga bila memasak, masakan tu menjadi. haha..

Tapi... semuanya dah tinggal dalam kenangan. Masa yang berlalu tinggal menjadi memori. Sayang seribu kali sayang... semua aktiviti yang aku jalani sepanjang empat bulan ni tak dapat dirakamkan. Memory card camera aku dah jam.

Sedih dan ralat sangat. lebih-lebih lagi time aku dan mak ke Putrajaya tu. Entah bila lagi aku dapat rakamkan memori indah bersama dia. Mudah-mudahan Allah memberikan kami kesempatan untuk bercuti bersama lagi pada masa-masa akan datang. Insyaallah.

Ok lah setakat ini dulu entri terbaru dari ku. Harap aku dapat muatkan lagi entri-entri baru di lain masa. Insyaallah...

Wednesday, April 21, 2010

DALAM KENANGAN

18 April 2010
Happy Birthday to you... happy birthday to you... Happy birthday to Baya... happy birthday to you... Kali pertama dan terakhir kau tiup lilin dan memotong kek bersempena ulangtahun kelahiran mu yang ke 14. Kegembiraan jelas terbit di wajah mu yang mulus. Hari ini 18 April datang lagi. Tetapi jasad mu telah tiada untuk ku ucapkan Happy Birthday seperti tahun-tahun yang lalu. Telah tiada untuk menyambut hadiah dariku. Owh, kakanda... kau terus hidup dalam kenangan ku.


Masih jelas diingatan ku saat kau khabarkan berita duka. Doktor mengesahkan penyakit mu, lung cancer. Menggigil ku baca sms ringkas dari mu. Kata mu lagi barah itu sudah di tahap 4. Tiada kata yang mampu aku ucapkan. Hanya air mata sebagai pengganti bicara. Lewat petang itu, baru ku balas msg mu. Aku katakan kau kuat untuk hadapi semua ini. Sebab itu kau menjadi pilihan Allah untuk diuji. Berusahalah. Lewat sms kita, aku ucapkan yang aku sayangkan mu. Tulus lahir dari hati ku tika itu.

Seminggu itu kerap ayah menelefon ku. Ayah kebuntuan. Doktor menjangkakan hayat mu hanya tinggal 6 bulan sahaja lagi. Kemoterapi boleh dilakukan tetapi hanya untuk memanjangkan hayat mu kerana pada tahap ini, barah sudah sukar untuk diubati. Ayah tidak dapat membuat keputusan. Dia bertanyakan pendapat ku. Aku sendiri tiada jawapan. Aku tahu nada percakapan ayah bagai menahan sebak di dada. Owh ayah. Aku pun serupa. buntu.

Akhirnya mak bertemu dengan seseorang yang sudi membantu. Adiknya seorang ustaz, mampu mengubati penyakit barah. Bahkan isterinya merupakan bekas pesakitnya sendiri. Perjumpaan dengan Ustaz Bukhari di Tok Bali memberikan harapan baru kepada kami. Berulang kali diubati, dan kali terakhir beliau mengatakan hanya tinggal 30% sahaja lagi barah di paru-paru mu.

Walaupun khabar itu sedikit sebanyak melegakan hatiku tetapi tidak pada emak. Rupanya mak telah dapat merasakan sesuatu. Ketika kau dilahirkan, bidan yang menyambut mu mengatakan umur mu tidak panjang. Ustaz Bukhari juga ada bersuara kecil, sakit ini boleh diubati tapi... Mak juga pernah terjaga dari tidur kerana terdengar suara sekumpulan gagak melintasi bumbung rumah kami. Seekor burung hantu juga pernah datang bertenggek di kandang kambing kami. Dan yang paling mak merasa tidak sedap hati ialah dia pernah bermimpi menyelimut seseorang dengan kain putih. Semua hal ini mak ceritakan setelah semuanya selamat.

dan Sesungguhnya ajal maut adalah ketentuan Allah. Dialah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Dia berkuasa atas setiap sesuatu. dan tepat pada masa yang dijanjikan-Nya, kau akhirnya pergi meninggalkan kami semua pada malam Jumaat, 13 Disember 2007, tidak sampai 3 bulan selepas kau didiagnosis.


Pagi itu, ku sedekahkan surah Yassin buat mu. Tetamu yang bertali arus berkunjung tidak ku hiraukan sehinggalah ku terpandangkan wajah teman baik mu. Waktu itu, aku bagaikan baru tersedar dari mimpi. Sepanjang malam aku tidak dapat tidur kerana hati ku menolak untuk menerima kejutan sebesar ini. Namun, demi terpandangkan wajah sahabatmu itu, aku tahu aku berpijak di bumi nyata. Kau telah pergi meninggalkan kami semua. Derai air mata tidak dapat dibendung lagi.

Ubun-ubun mu, ku cium dan ku tinggalkan kau dengan linangan air mata yang bagaikan sungai mengalir. Makin di tahan semakin parah. Satu hari, aku tidak hiraukan makan dan minum. Makan tetapi semuanya tawar. Minum tapi semuanya tidak terasa. Setiap kali selepas solat ku sedekahkan surah yassin buat mu. Ku doakan agar kau baik-baik sahaja di sana.

Aku tidak tahan berada lama di rumah. Bayangan mu seakan wujud di setiap sudut rumah. sehinggakan aku tidak sanggup menjenguk ke bilik mu. Namun aku berlakon kuat di depan mak, ayah dan adik-adik. Kau tinggalkan aku dengan tugas berat yang tidak pernah aku terfikirkan. Kini aku lah pembawa status anak sulung. Aku lah tunggak kekuatan mak dan ayah dan aku jugalah tempat bergantung adik-adik. Mujur dua minggu selepas kau pergi, aku perlu memulakan semester baru. Dapatlah aku membawa hatiku keluar dari rumah yang banyak mencipta memori kita bersama. Aku ingin merawat kedukaan hati ini.

Lebih dua bulan masa yang aku ambil. Setiap hari aku tidur bersama linangan air mata kerana bayangan mu tidak pernah hapus dari kotak ingatan ku. Ku sedekahkan yassin buat mu setiap kali selepas solat magrib. Aku membina kekuatan diri dengan mengaji dan solat sunnat. Aku bergelak ketawa dengan kawan-kawan. Aku berlagak seperti biasa di hadapan semua orang. Lama kelamaan baru lah aku dapat menerima pemergiaan mu walaupun untuk melupakan mu, adalah mustahil sama sekali.

Aku tahu bukan aku seorang yang merasai kehilanganmu. Mak dan ayah apatah lagi. Adik-adik juga semestinya. Teman-teman akrab mu juga. Kau sememangnya permata yang menyinari kehidupan kami. Pemergianmu telah menyuramkan hidup ini. Sememangnya engkau lah insan istimewa, pinjaman Tuhan kepada kami buat sementara cuma.


Ya Allah, aku tidak pernah jemu berdoa dari hari pertama dia pergi hingga ke saat ini. Hanya satu pintaku, bahagiakanlah dia di sana. Cukuplah deritanya di dunia ini sebagai penghapus dosa. Sesungguhnya hanya Engkau Tuhan ku, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Kak... selamat hari jadi~ I'm really really miss you... so much!
oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang MEMILIKI dan MENGUASAI tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNya lah kamu semua dikembalikan. Yaasin : 83


Sinaran mata cerita segalanya
duka lara terpendam memori semalam
tinggal segala cinta tiada kembalinya
abadi kasih kita kau bawa bersama
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Tersemat jiwa setia bersamanya
cinta murni berdua beribu tahunnya
mimpi indah mekar saat cinta bersemi
sedetik asmara syurga selamanya

Pergilah rinduku hilangkan dirimu
tak sanggup menanggung derita di kalbuku
pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Ohh pergilah sayangku bermula semula
semangat cintaku membara kerana dia
tiada niatku

Maafkan daku duhai kasih
izinkan ku pergi

Izinkan Ku Pergi

Saturday, April 10, 2010

Kadangkala kita merasakan bahawa kita lah orang yang paling teruk diuji~ tetapi kadang kala kita terlupa sebab di seblik ujian itu dan kita juga lupa, masih ramai lagi yang menerima ujian serupa bahkan lagi hebat dari kita. Bersyukur lah dengan segala yang telah diaturkan oleh Dia yang Maha Mengetahui atas segala yang terjadi~
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286-

Friday, April 9, 2010

Teristimewa Buat Teman-Teman Seperjuangan

Teman,
Aku sedar diri ini serba kekurangan
Sering salah dalam berbicara
Sering menyakiti dalam menyapa
Sering terkasar tingkah dan tutur kata
Namun janganlah kiranya
Kekurangan ini membawa sengketa
Antara kita.

Teman,
Ku mohon jutaan kemaafan
Sudilah kiranya diampunkan setiap kekhilafan
Kerana aku juga hanya lah seorang insan
Yang tidak lepas dari kesilapan.

Teman,
Di akhir pertemuan ini
Jambangan terima kasih ku hadiahkan
Buat kalian semua
Ketahuilah teman
Sesungguhnya kalian telah mewarnai
Kanvas perjuangan ku
Di menara gading ini
Dengan lukisan yang terindah
Untuk ku tatap sepanjang zaman.

Teman,
Mudah-mudahan kita dipertemukan lagi
Walau dalam suasana yang berbeza
Namun kemesraan itu tetap terasa.

Dan kepada Tuhan,
Ku bermohon agar
Ikatan persahabatan ini terus berkekalan
Selagi hayat dikandung badan.

Thursday, April 8, 2010

SALAM PERPISAHAN

Salam pertemuan dihulur
Dengan seribu satu persepsi
Ada yang cantik, ada yang kacak
Ada yang pintar, ada yang berlagak
Ada yang petah, ada yang pendiam
Ada yang merendah diri, ada yang baik hati
Pelbagai versi.

Selama empat tahun meniti hari
Suka dan duka bersama direnangi
Kini hampir semua sudah dikenali
Pertemuan yang terbina dahulu
Telah menjadi suatu ikatan yang teguh
Bagaikan sukar untuk dirungkaikan lagi.

Namun perpisahan ini harus terjadi
Kerana itu hukum alam, ketetapan Tuhan
Tetapi berpisah bukanlah bererti

Tamatnya sudah kisah antara kita
Dan bukan sebagai tanda terlerainya
Ikatan yang telah dibina.

Bahkan sebenarnya
pengerat kasih di kejauhan
Terus utuh dalam ukhwah yang berpanjangan.

Monday, April 5, 2010

PERISA VANILLA

Sudah lama ingin ku tulis berkenaan hal ini. Namun baru hari ini aku diberi kekuatan untuk berbuat demikian. Terima kasih kepada seorang teman, yang menyedarkan tentang keterlanjuran ku hingga mungkin telah mengguris perasaan teman-teman yang lain. Bukan niat ku untuk menghindar diri dari kalian, apatah lagi aku dengan sukarelanya ingin turut serta keluar bersiar-siar bersama.

Teman, sedari lah. Aku adalah anak seorang perokok. Sejak kecil aku dibesarkan dengan asap rokok bapa ku. Aku ingat lagi, ketika kecil aku sangat suka menghirup kepulan asap rokok Camel yang dilepaskan dari kerongkong ayah. Baunya harum semerbak. Ketika itu bagi ku adalah adab jika seorang lelaki merokok. Sangat janggal jika mengenali seorang lelaki yang tidak merokok.

Suatu hari, salah seorang insan yang amat aku sayang, yang telah menemani kehidupan ku lebih 20 tahun di dunia ini di jemput Tuhan kembali kepada-Nya. Apa dayaku untuk menghalang pemergiaan dia. Aku redha dia pergi kerana ketika sakitnya aku sendiri pernah mendoakan, andai hidup ini lebih baik buatnya sembuhkanlah dia dan kembali kan kesihatan dia seperti dulu, Ya Allah. Tetapi andai mati itu lebih baik buatnya, aku redha Engkau mengambil dia dari kami.

Lungs cancer atau barah paru-paru, punca kematian. Artikel demi artikel yang ku baca dari internet dan media cetak, mengaitkan penyakit ini dengan rokok. Hairan sekali, bagaimana mungkin ini terjadi. Sedangkan dia bukan perokok. Memang sudah suratan ketentuaan Allah menjadikan semua yang mustahil boleh berlaku. Namun kekesalan itu tidak dapat ku bendung dari membalut hati ini. Tapi siapa aku untuk membenci ayah sendiri, insan yang banyak berkorban demi anak-anaknya. Bahkan ku lihat ayah sangat bersedih dengan pemergian arwah. Jika ini aku kesalkan, ayah apatah lagi. Dia lah satu-satunya perokok dalam rumah kami.

Sejak itu lah aku jadi pembenci. Pembenci kepada rokok. Hingga kan sampai satu tahap aku pernah bertekak hanya kerana rokok. Mujur teman menegur ku. Dan baru-baru ini sekali lagi tindakan ku rupanya mengundang persepsi negatif teman-teman. Aku cuba menerima rakan-rakan yang merokok. Aku cuba elakkan dari bertengkar lagi kerana semua orang sudah sedia maklum bahaya rokok dan pasti salah satu hujah perokok, dah merokok memang susah nak berhenti.

Kali ini, kami minum-minum di sebuah restoran dan seorang kawan menempah shisha perisa vanilla. Kata salah seorang teman baunya memang seperti vanilla tapi agak masam sedikit namun pada deria ku baunya tidak ubah seperti muntah. Aku cuba bertahan. Aku minum air laici ku sambil sedaya upaya cuba kurangkan menghirup udara dalam-dalam. Namun aku tidak dapat bertahan lama dan mengalihkan tempat duduk ku jauh sedikit dari tempat mereka-mereka yang sedang menghisap shisha.

Ketika itu aku langsung tidak memikirkan perasaan mereka. Apa yang penting aku tidak mahu menuturkan apa-apa yang boleh mengundang pertengkaran dan aku juga tidak mahu terus-terusan menghirup asap shisha itu. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang sudah berjauh hati dengan ku. Justeru kesempatan ini, andai ada teman-teman yang membaca coretan ini, jutaan maaf ku pohon.

Mungkin aku telah mengguris hati kalian namun ku mohon pengertian dari teman-teman. Aku sudah mencuba menerima perokok-perokok di sekeliling ku namun apa daya ku. Kebencian sudah tertanam jauh di sudut hatiku sehingga pernah ku katakan andai aku orang yang paling berkuasa, produk pertama yang akan aku hapuskan di pasaran dunia adalah rokok durjana.

Saturday, February 27, 2010

RAHSIA

Terselindung di sebalik senyuman
Tidak tersingkap dengan perkataan
Terus terhijab dengan keceriaan
Apakah hati ini pendamkan.

Tidak terucap rahsia ini
Antara realiti dan fantasi
Terus terpendam kukuh sekali
Tanpa lidah mengingkari.

Berat bibir menutur bicara
Kering kolam mata tanpa mutiara
Kelihatan semua seperti biasa
Rupanya tersirat secebis duka.

Mahu mengapa tidak
Mahu sekali diluahkan
Rahsia sekeping hati ini
Tetapi kepada siapa.

Dapatkah mereka dipercayai
Tegarkah mereka memahami
Atau hanya cemuhan bakal meniti
Lantas hati terus dilukai.

Biarlah rahsia ini terus terpendam
Dan terluah hanya kepada Tuhan
Andai itu yang dapat membahagiakan semua
Sekalipun hati ini terus terluka.

Tuesday, February 23, 2010

SUARA SEORANG GURU

Anak-anak didik ku
Berdirinya aku di sini
Bukan untuk bermegah
Dengan pangkat dan kepandaian
Bukan untuk membandingkan
Siapa yang lebih hebat di antara kita.

Tetapi hadirku di sini adalah untuk
Mencurahkan ilmu tanpa jemu
Mengajar mu mengenal dunia
Mendidikmu tanpa mengenal lelah
Mengajakmu ke arah kebenaran dan kebaikan
Mendorongmu mencapai cita-cita
Memikul amanah menjadi ibu bapa kedua
Dengan penuh rela.

















Wahai anak-anak didikku
Aku memandang diriku dalam dirimu semua
Kerna aku juga pernah melalui jalan yang sama
Sentiasa dahagakan setitis ilmu
Teraba-raba mencari secebis sinar
Demi masa depan yang lebih bahagia.

Duhai anak-anak didik ku
Bukan kemegahan yang aku cari
Bukan wang ringgit yang aku tuntuti
Bukan pangkat dan darjat aku kejari
Tetapi yang aku impi
Adalah melihat dirimu bukan sahaja
cemerlang akademik, jaguh sukan, petah berpidato
Bahkan aku mengharapkan
Dirimu cemerlang menjadi seorang manusia selayaknya
Yang berupaya mengikut rentak arus duniawi
Dengan pegangan yang tidak pernah kabur
Juga yang mampu tersenyum bahagia
Dalam perjalanan menuju ukhrawi yang abadi.

Dengarlah anak-anak didikku
Suara hatiku, guru mu.

Monday, January 4, 2010

Puteri Kecil

Puteri kecil itu
Lahirnya bahagia
Ditimang dan disayang
Walau keras hatinya sukar dilawan
Sukar mendidik bukan alasan
Akhirnya dia muncul cemerlang

Secerah mana pun mentari
Belum tentu tiada mendung menanti
Lantas membawa hujan di tengahari
Membasahi sekeping hati

Hilang sudah bahagia
yang selama ini menyelimuti
lena si Puteri bersama mimpi
yang ada cuma igauan ngeri

Sayap puteri bagaikan patah sebelah
Sukarnya untuk terbang membelah awan
Getirnya hidup dalam kegelapan
Ngilunya rasa suatu pertengkaran

Bonda, ayahanda..
bukan ini yang puteri pinta
kembali lah bersatu seperti dulu
hilangkanlah segala duka di hatiku

Masa terus berlalu
tetapi kita masih seperti dulu
Puteri hari ini bukan lagi seperti dulu
Puteri kini lebih banyak senyum dalam air mata
Puteri yang lebih banyak meragui
harga sesebuah perhubungan

Bantu lah puteri
hapuskanlah igauan ngeri ini
izinkanlah puteri merasakan lagi
bahagia yang pernah puteri nikmati

Langkah Kaki Ini

Detik demi detik yang berlalu
Mendewasakan aku menjadi aku
Menghayun langkah kaki kian deras
Mengejar sinaran suria di penghujung jalan
Aku adalah aku
Insan yang berdiri mencari pelangi
Di celah mendungnya awan
Mengharap setiap titis hujan
Membawa sejuta kebahagiaan

Aku adalah aku
Yang tega menempuh ranjau berduri
Menoreh hatiku, berdarah
Namun aku masih gagah
Kian cekal menghayun langkah
Walau luka itu terus berdarah
Hingga akhirnya sembuh sendiri
meninggalkan bekas

Aku adalah aku
Yang bisa berdepan ombak dan badai bergelora
Menghempas aku, keras
Namun aku masih utuh
Terus berpaut pada layar yang teguh
Walau tangan ini seakan patah
Tidak sekali pun akan ku mengalah.

Aku adalah aku
Yang tidak mudah berserah
Mendengar deru angin dan ribut taufan
Mencampak aku ke tengah, rebah
Namun aku akan berdiri semula
Walau kaki ini kian lemah
Tetap akan ku teruskan langkah

Aku adalah aku
Yang akan terus melangkah dan melangkah
Untuk mengecap cerahnya suria itu
Untuk menjamah indahnya pelangi itu
Sehingga ke suatu masa yang telah ditetapkan
Aku pasrah menerima ketentuan
Kerana aku hanya seorang insan
Hamba yang sentiasa berlindung
Dan menyandar seluruh harapan
Kepada kekuasaan Mu, Tuhan.

Saturday, December 26, 2009

Final Semester

Sudah menghampiri empat tahun aku di sini, UTM, Skudai. Dalam tempoh yang bukan lah singkat bahkan terlalu lama tanpa ku sedari. Patut lah aku rasa ak sudah kenal benar dengan jalan-jalan dalam kampus UTM ini. Bukan sahaja simpang bahkan biji-biji bonggol pun ak tahu benar di mana letaknya. =D

Final sem juga kadangkala membawa aku menggembara jauh dalam imaginasi. Berangan menjadi seorang guru yang petah berkata-kata antara santapan minda ku saat berkhayalan. Haha.. teringat pula aku pada kelas Nilai-nilai Murni minggu lepas. Pensyarah bertanyakan matlamat ak dan dengan jujurnya aku menjawab "Guru Cemerlang." Beliau mempersoalkan, guru cemerlang atau guru yang cemerlang? Keduanya ada beza. Jawapan ku dua-dua. =D

Aku memang teringin mendapat pangkat Guru Cemerlang dgn DG48. Walau bagaimanapun pada dasarnya keutamaan ku bukan lah pada pangkat. Matlamat utama ak apabila berkerjaya nanti adalah untuk menjadi guru yang cemerlang, yang bukan sahaja dapat mencurah ilmu kepada anak-anak bangsa bahkan juga dapat menyumbang sesuatu kepada agama dan negara. Insyaallah.



Leka ak dalam keseronokan dan keperitan meniti kehidupan sebagai pelajar. Akhirnya ak berdiri di gerbang terakhir pengajian ku di sini, untuk kali ini. Namun kekuatan memburu kejayaan masih belum tersisa. Bahkan makin menggunung apatah lagi memikirkan keputusan semester lepas yang pernah mengganggu lena tidur ku untuk beberapa malam.

Aku mengharapkan kejayaan yang cemerlang bukan setakat cukup makan. Kejayaan yang ku buru itu, bukan untuk ku bangga-banggakan. tapi tulus dariku, ak mahukan kejayaan itu untuk ku balut menjadi hadiah terindah buat susah payah, pengorbanan mak dan ayah. sebagai cahaya kegembiraan, pengubat kedukaan mereka berdua setelah satu demi satu ujian getir yang datang melanda.

Bantu lah aku ya Allah... Permudahkanlah segala urusan ku....

Thursday, December 24, 2009

Pergi Dulu

Andai takdir hidup ku
Hanya sampai di sini
Jangan ditangisi perginya aku
Teruskanlah kehidupan mu di dunia ini
Teruskanlah perjuangan di jalan Illahi
Teruskanlah memburu impian hidupmu
Kerana kejayaan mu kebahagiaanku jua.

Andai aku ditakdirkan pergi dulu
Jangan dilupa diri ku
Bukan dengan titis air mata sesal
Tetapi dengan doa kudus ikhlas dari mu
Hadiah yang pasti membahagiakan aku.



Benarlah kata orang
Kita akan lebih menghargai
Setelah kita kehilangan
Namun, ingatlah
jangan sesekali dikesali
Ketentuan Illahi
Setiap yang dijadikan-Nya
Terselindung hikmah disebaliknya.